LTAT lantik bekas Panglima Tentera Udara Azizan Ariffin sebagai Pengerusi, Mohammad Ashraf sebagai Ketua Eksekutif | DagangNews Skip to main content

LTAT lantik bekas Panglima Tentera Udara Azizan Ariffin sebagai Pengerusi, Mohammad Ashraf sebagai Ketua Eksekutif

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melantik Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin sebagai Pengerusi dan Mohammad Ashraf Md Radzi sebagai Ketua Eksekutif berkuat kuasa 1 April 2024.

 

LTAT dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Azizan ialah figura yang mempunyai pengalaman dan kepimpinan meluas, selepas berkhidmat dengan cemerlang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 40 tahun.

 

Beliau telah memenuhi pelbagai jawatan penting sepanjang perkhidmatannya termasuk Panglima Operasi Udara, Timbalan Panglima Tentera Udara, dan juga sebagai Panglima Tentera Udara ke-15.

 

Setelah itu, beliau telah mencipta sejarah dengan menjadi Panglima Angkatan Tentera yang pertama daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Beliau merupakan graduan Air Command and Staff College (USA) dan National Defence College (India).

 

"Pengalaman meluas beliau dalam hal ketenteraan, diplomasi dan pembangunan kepimpinan diyakini akan mendorong LTAT agar terus mencapai objektif strategiknya dan meningkatkan peranan dalam menjaga kebajikan anggota ATM dan keluarga mereka," katanya.

 

Sementara itu, Mohammad Ashraf bakal menggalas peranan Ketua Eksekutif selepas berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan sejak Mac 2020.

 

"Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah menunjukkan kecekapan dalam menguruskan hal ehwal kewangan, memimpin perangkaan strategi kewangan dan memastikan kepatuhan kepada prinsip kebertanggungjawaban kewangan di LTAT.

 

"Kepimpinan beliau telah memberikan sumbangan signifikan kepada agenda transformasi organisasi yang berjaya memulihkan dividen kepada tahap yang mampan serta meningkatkan kedudukan kewangan secara keseluruhannya," kata LTAT.

 

Mohammad Ashraf memulakan kerjayanya di Eropah dengan menjalani latihan sebagai akauntan di firma Ernst & Young, sebelum berkhidmat di UBS Investment Bank.

 

Setelah kembali ke tanah air, beliau mengembangkan kepakarannya dalam bidang kewangan korporat di Prokhas Sdn Bhd, sebuah firma penasihat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (MOF).

 

Selepas itu, beliau berkhidmat di Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) sebagai Ketua Kewangan Korporat sebelum menyandang jawatan Ketua Pegawai Kewangan AZRB.

 

Mohammad Ashraf juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Perakaunan dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

 

Beliau juga adalah ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan menjadi Akauntan Bertauliah daripada Institut Akauntan Malaysia.  - DagangNews.com