KUALA LUMPUR 15 Ogos - Penyedia perkhidmatan keselamatan siber, LGMS Berhad dijangka mendapat manfaat daripada penguatkuasan Akta Keselamatan Siber 2024 yang bakal diwartakan pada suku ketiga tahun ini, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, undang-undang terebut yang diluluskan di Parlimen pada 3 April 2024 akan meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan syarikat tempatan dan individu berkaitan.
"Kami optimis mengenai pelancaran tepat pada masanya produk Star Sentry mereka (sejajar dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Siber), yang diharapkan dapat menyumbang pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24).
"Walaupun keselamatan siber kurang dibincangkan dalam ledakan pusat data, permintaan dijangka meningkat semasa fasa pelaksanaan.
"Kami memihak kepada LGMS sebagai satu-satunya syarikat keselamatan siber tulen untuk memanfaatkan trend ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research seterusnya mengekalkan ramalan LGMS dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.90 sesaham dan mengulangi saranan 'Outperform'.
Firma penyelidikan itu juga menyukai LGMS antaranya kerana prospek pertumbuhan yang tinggi dalam perniagaan teras keselamatan siber, memandangkan pasaran keselamatan siber tempatan dan serantau masih kurang ditembusi.
ARTIKEL BERKAITAN: LGMS tembusi pasaran keselamatan siber perbankan Kemboja
"Kedua, halangan yang tinggi terhadap kemasukan pesaing baru disebabkan oleh proses kelayakan yang ketat sebagai vendor dan ketiga, perisian pensijilan proprietari baharu yang dijangka menjadi pemacu keuntungan seterusnya," ujarnya.
Menurut Kenanga Research, potensi pertumbuhan untuk keselamatan siber di Malaysia dan Asia Tenggara adalah sangat besar, memandangkan industri ini masih di peringkat awal.
Katanya, Akta Keselamatan Siber 2024 yang diluluskan April lalu menandakan langkah penting ke arah meningkatkan kesedaran mengenai ketahanan siber dalam kalangan syarikat, perniagaan dan indvidu terutamanya yang berada dalam Infrastruktur Maklumat Nasional Kritikal (CNII) dengan mewajibkan pematuhan terhadap standard keselamatan siber.
"Banyak kejadian keselamatan siber di Malaysia tidak dilaporkan kerana kekurangan keperluan pendedahan, satu isu yang cuba ditangani oleh akta ini. Setelah akta ini dikuatkuasakan (menunggu pewartaan), pengarah syarikat mungkin menghadapi tanggungjawab peribadi untuk kesalahan jika didapati cuai dalam persediaan keselamatan siber mereka.
"Tepat pada masanya, LGMS telah melancarkan “StarSentry” pada 4 Jun 2024, sebuah peranti plug-and-play yang pertama seumpamanya yang menyambung secara langsung ke rangkaian pengguna, secara autonomi menganalisis semua peranti yang bersambung untuk mencari kelemahan.
"Direka untuk PKS hingga syarikat besar yang mencari penyelesaian keselamatan yang kos efektif dan mudah, produk ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada prestasi kumpulan," jelasnya.
Kata Kenanga Research, di sebalik keterujaan mengenai ledakan pembinaan pusat data di Malaysia, terdapat topik penting yang sering terlepas pandang iait keselamatan siber.
"Untuk memanfaatkan potensi yang belum diterokai dalam tema pusat data di Malaysia, kami percaya LGMS adalah pilihan yang sangat baik, memandangkan kedudukannya yang unik sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan keselamatan siber tulen yang tersenarai di negara ini.
"LGMS mengkhusus dalam ujian penembusan pencegahan, pensijilan, dan perkhidmatan pemulihan data, menjadikannya pemain penting dalam pasaran yang berkembang pesat ini," ujarnya. - DagangNews.com








