KUALA LUMPUR 17 Jan - Proton Tanjung Malim menerima kunjungan Duta Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev yang diiringi wakil kedutaan, bagi meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan.
Gadoev berkata, Malaysia adalah rakan jangka panjang dan boleh dipercayai bagi Uzbekistan, kerana kedua-dua negara mempunyai hubungan perdagangan dan budaya berkurun lamanya, persahabatan, dan keakraban rohani.
Beliau berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan ekonomi dua hala antara Uzbekistan dan Malaysia semakin berkembang.
Katanya, pada masa ini 36 syarikat Malaysia berjaya beroperasi di Uzbekistan, dan terdapat sebuah syarikat Uzbekistan di Malaysia.
"Menjelang akhir 2024 tiga syarikat Malaysia akan memulakan aktiviti mereka di Uzbekistan dan pada masa ini, rundingan dengan beberapa pemain industri Malaysia untuk mewujudkan projek pelaburan bersama sedang berjalan dengan lancar.
"Oleh itu, kami berpendapat bahawa terdapat potensi besar yang belum diterokai antara Uzbekistan dan Malaysia dari segi hubungan ekonomi dua hala.
"Kami mengadakan pertemuan yang memberikan hasil positif dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah untuk membincangkan peluang kerjasama bersama dalam industri automotif dan kami berharap kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengurusan Kawal Selia DRB-Hicom, Tengku Zainudin Tengku Jafar.
Sementara itu, Roslan pula berkata, sebagai pengeluar peralatan asli (OEM) antarabangsa, Proton sentiasa mencari rakan kongsi untuk meluaskan jangkauan mereka.

"Oleh itu, kami berterima kasih atas kunjungan Duta Besar Uzbekistan dan delegasinya dan berharap akan ada beberapa perkembangan positif untuk dilaporkan pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com








