PUTRAJAYA 1 Sept. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan merasuah doktor atau sesiapa sahaja bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin, supaya membuat aduan rasmi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, orang ramai boleh boleh menghubungi SPRM di talian hotline 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my.
''Saya memandang serius terhadap dakwaan orang ramai berkaitan kegiatan merasuah doktor atau mana-mana pihak bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin.
''Perbuatan ini bukan saja melibatkan isu rasuah, tetapi ia menjejaskan reputasi profession pengamal perubatan sekali gus mencalarkan imej mereka sekiranya perkara itu benar-benar berlaku,'' kata beliau dalam kenyataan di sini.

Setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan namun akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut. - DagangNews.com








