KUALA LUMPUR 31 Okt - Hampir 200 negara bersaing secara kolaboratif dalam pertandingan intelektual, kreatif dan penuh semangat dalam bidang robotik pada First Global Challenge 2023 yang telah diadakan di Singapura, baru- baru ini.
Pertandingan robotik antarabangsa tahunan ketujuh itu berlangsung di Asia Tenggara untuk kali pertama, yang mana cabaran 2023 dibantu dan direalisasikan dengan sokongan penaja utama, Lam Research, pembekal global bagi peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer inovatif kepada industri semikonduktor.
Ketua Pegawai Komunikasi dan Naib Presiden Kumpulan ESG Lam Research, Stacey MacNeil berkata, pihaknya berbangga untuk membantu merealisasikan First Global Challenge, dan menyaksikan minat, kepintaran dan inovasi kolaboratif yang ditunjukkan para remaja dalam acara tahun ini.
"Di Lam Research, kami percaya bahawa menyediakan pengalaman pembelajaran transformatif akan memberi inspirasi kepada generasi inovator yang seterusnya dan meningkatkan bakat industri semikonduktor pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sumbangan sebanyak AS$10 juta Lam Research memberikan pendanaan kritikal untuk memajukan misi First Global bagi meningkatkan akses kepada pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan memupuk generasi perintis teknologi global yang seterusnya.
Sumbangan Lam adalah hadiah syarikat yang paling besar sejak syarikat tersebut mengumumkan platform impak sosialnya, 'Memperkasakan Penemuan Terkini Bersama', pada tahun 2022.
Selain pendanaan, Lam menyediakan lebih 30 mentor di seluruh dunia untuk pasukan yang bertanding, membangunkan potensi setiap pasukan remaja untuk berjaya dengan cemerlang dalam acara ini.
Bagi memupuk lagi bakat STEM, Lam meneruskan usahanya di Malaysia melalui penyertaannya di Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang (PISF), sebuah acara anjuran Kluster Sains Pulau Pinang merangkumi pameran industri yang menarik, bengkel interaktif yang dikendalikan oleh mentor industri dan sekolah MakerLab, pertandingan dan MakerFest.
Misinya adalah untuk mengembangkan minat dalam STEM untuk murid sekolah rendah dan menengah.
Lam Research menaja dan mengambil bahagian dalam PISF sejak tahun 2021 dan pada tahun 2023, Lam mengambil bahagian dalam MakerLab yang mana kakitangan Lam menjadi mentor kepada pelajar daripada dua buah sekolah bagi projek sains. - DagangNews.com








