KUALA LUMPUR 22 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) akan menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai pendidikan dan kepimpinan pada 26 hingga 27 Mac 2022, yang disertai seramai 100 mahasiswa universiti tempatan dan 30 mahasiswa universiti antarabangsa.
Persidangan ‘Putra Global Conference on Student Leadership & High Impact Involvement’ (PUTRAGC 2022) merupakan platform untuk bertukar idea dan maklumat melalui pembentangan oleh pemimpin mahasiswa universiti dari dalam dan luar negara.
Program yang akan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad itu juga akan memberi peluang kepada pemimpin mahasiswa antarabangsa untuk berkongsi pendapat terhadap isu kajian penyelesaian masalah global secara lebih cekap.
Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail, Prof. Dr. Aminuddin Hassan berkata, mereka menyokong jaringan pendidikan dan kepimpinan di peringkat antarabangsa yang merupakan saranan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan perkongsian ilmu dan pengalaman oleh generasi masa kini yang mempunyai pelbagai idea baharu.
“Matlamat PUTRAGC 2022 ialah melihat kematangan mahasiswa menilai sesuatu perkara, keterbukaan minda melalui perbincangan dan kebijaksanaan menilai keputusan untuk membentuk intelektual yang kukuh dalam golongan belia masa kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengisian persidangan itu seperti ‘Light Bulb Session’, ‘Parallel Session’, ‘Keynote Session’, ‘Conference Tour’ serta sesi ucaptama daripada Dr. Soo Wincci termasuk pemimpin berkarisma dari pelbagai universiti ternama dijangka mampu menerapkan perkongsian idea bernas dalam mahasiswa. - DagangNews.com








