KUALA LUMPUR 18 Mac - Kossan Rubber Industries Bhd mempunyai kunci kira-kira paling kukuh dalam kalangan pembuat sarung tangan getah lain di bawah liputan Maybank Investment Bank (Maybank IB) dengan tunai bersih RM2.1 bilion (81 sen sesaham) setakat Disember 2023.
Ditambah dengan pengetahuan teknologinya, Maybank IB berkata Kossan akan dapat meningkatkan automasi dan pendigitalannya di seluruh operasinya.
"Ini akan menghasilkan produktiviti lebih tinggi, jumlah pekerja lebih rendah dan daya saing kos yang lebih baik,” ulasnya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun dari segi skor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), firma penyelidikan itu memberi skor 38 yang di bawah purata berikutan kekurangan sasaran ESG bagi jangka sederhana hingga panjang.
Namun, katanya, kumpulan itu telah mengukuhkan infrastruktur kelestariannya, mekanisme perakaunan karbon, pengumpulan dan pendedahan data.
Menurut Maybank IB, ia dijangka melihat penambahbaikan dalam syarikat itu dengan pelancaran strategi dan pelan tindakan kelestariannya yang ditunggu-tunggu.
"Kossan telah menyatakan hasratnya untuk melancarkan Strategi dan Pelan Tindakan Kelestarian dan memperkenalkan petunjuk prestasi utama (KPI) berkaitan kelestarian untuk pengurusannya pada 2023.
"Semua inisiatif ini, apabila diperincikan, dijangka boleh meningkatkan pemarkahan ESG pada masa hadapan," tambahnya,
Maybank IB berkata skor ESG keseluruhan Kossan sebanyak 38 kini mengekori markah ESG syarikat lain dalam sektor tersebut, iaitu Top Glove Corp Bhd yang memperoleh 47 dan Hartalega Holdings Bhd pada 61.
Selain kekurangan sasaran ESG jangka sederhana dan panjang, firma itu mendedahkan bahawa komposisi lembaga pengarah Kossan tidak begitu pelbagai seperti Top Glove dan Hartalega Holdings Bhd, yang mempunyai lebih banyak pengarah bukan eksekutif bebas dan perwakilan wanita.
Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan Kossan dan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM2.08 berdasarkan harga kepada nilai buku (PBV) FY25 sebanyak 1.3 kali.
Setakat pukul 12:24 tengah hari ini, saham Kossan telah susut 1 sen atau 0.5% kepada RM1.85, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM4.73 bilion. - DagangNews.com








