Khalijah Ismail dilantik Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank | DagangNews Skip to main content

Khalijah Ismail dilantik Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank


KUALA LUMPUR 30 Sept - Kumpulan Maybank mengumumkan pelantikan Khalijah Ismail sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) berkuatkuasa 1 Oktober 2021.

 

Khalijah telah memangku jawatan CFO tersebut sejak 29 Jun lalu, susulan perletakan jawatan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir yang mengambil alih jawatan pengarah urusan Khazanah Nasional Bhd.

 

Beliau memperoleh kelayakan profesional daripada Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di United Kingdom pada 1989, dan seterusnya menyertai firma Ernst & Young dan kemudian Data Power Sdn Bhd sebelum menyertai Maybank pada 1991.

 

Khalijah memiliki pengalaman luas di dalam bank terbesar di Malaysia ini, dan telah berkhidmat di pelbagai peranan dan jawatan di dalam kumpulan perbankan ini termasuk operasi perbendaraan, korporat dan perbankan pelaburan dan operasi antarabangsa, serta menguruskan program transformasi ke seluruh peringkat bank tersebut.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pelantikan Khalijah menunjukkan barisan pelapis dalaman bank yang teguh.

 



"Ia juga sejajar dengan komitmen kami terhadap kepelbagaian dan ekuiti. Dengan lebih 30 tahun pengalaman di dalam perniagaan dan kewangan serta keupayaan yang terbukti di dalam menguruskan beberapa peranan kewangan kumpulan, Khalijah akan membantu dan mengukuhkan EXCO kumpulan dan pasukan pengurusan kanan ke arah merealisasikan aspirasi M25 kami dan menguatkan wawasan perkhidmatan kewangan serantau kami.

 

"Kami mengalu-alukan sumbangan berterusan beliau kepada Kumpulan di dalam kapasiti kini yang lebih besar dan luas,'' kata Abdul Farid. - DagangNews.com