Kerja penyelenggaran sedang dijalankan di lapangan minyak Kimanis - Petronas | DagangNews Skip to main content

Kerja penyelenggaran sedang dijalankan di lapangan minyak Kimanis - Petronas

Lapangan minyak Gumusut-Kakap yang dikendalikan Royal Dutch Shell - Gambar Shell

 

 

 


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Kerja-kerja penyelenggaran tidak dirancang sedang dijalankan terhadap operasi lapangan minyak Gumusut-Kakap yang dikendalikan Royal Dutch Shell di luar pesisir Sabah.

 

Menurut Petronas, bagi meminimumkan impaknya, syarikat minyak dan gas negara itu memaksimumkan pengeluaran minyak mentah Kimanis daripada lapangan lain seperti Malikai.

 

"Operator sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah berkaitan bagi memastikan minyak mentah Kimanis mencapai pengeluaran puncak," katanya dalam e-mel kepada Reuters seperti dipetik dari The Edge hari ini. 

 

Shell, bagaimanapun tidak memberi respon segera berhubung perkara berkenaan, yang mana ia mengendalikan 2 lapangan air dalam, Gumusut-Kakap dan Malikai yang mampu mengeluarkan sehingga 170,000 tong minyak sehari bagi minyak mentah Kimanis.

 

Kenyataan Petronas itu secara tidak langsung mengesahkan laporan Reuters pertengahan bulan ini mengenai isu pengeluaran minyak di Gumusut-Kakap yang akan menjejaskan eksport Kimanis pada Oktober dan November.

 

 

Baca : Isu lapangan minyak Shell dijangka jejaskan eksport minyak mentah Kimanis

 

 

Pada 16 September lalu, dilaporkan bahawa pengeluaran minyak mentah Kimanis menyusut kira-kira 117,000 tong sehari dan jumlah muatan setiap kargo pada Oktober juga berkurangan

 

Keadaan ini akan memberi kekangan kepada bekalan minyak mentah sweet (merujuk kepada minyak petroleum yang mempunyai kandungan sulfur rendah) Asia, yang mana boleh menyokong harga bagi eksport yang sama dari Vietnam dan Lembah Atlantik. 

 

Dalam laporan yang memetik sumber itu, dikatakan terdapat kebocoran di unit pemampat lapangan minyak Gumusut-Kakap di luar Sabah Timur Malaysia, yang telah ditutup pada Ogos untuk menjalankan kerja penyelenggaraan. 

 

Unit ini yang sepatutnya kembali beroperasi bulan ini, akan terus kekal tutup sehingga kerja-kerja pembaikan dijalankan pada November. - DagangNews.com