Kerajaan perkenal konsep Pengurusan Keselamatan Berasaskan Komuniti, iktiraf sumbangan ahli komuniti - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan perkenal konsep Pengurusan Keselamatan Berasaskan Komuniti, iktiraf sumbangan ahli komuniti - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 19 Julai - Kerajaan memutuskan untuk memperkenal konsep Pengurusan Keselamatan Berasaskan Komuniti (CBSM) bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan ahli komuniti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, komuniti juga harus bersedia menjadi mata dan telinga agensi keselamatan, dalam usaha mencegah sebarang bentuk ancaman kepada keselamatan negara.

 

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan-sukarelawan yang sentiasa memastikan seluruh Keluarga Malaysia dapat kembali pulih sewaktu ditimpa musibah.

 

"Sebenarnya, budaya kesukarelawanan perlu terus disemai dan dipupuk sebagai satu pendekatan memastikan komuniti mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Persidangan Keselamatan Negara dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022, di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperkenalkan doktrin Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul bersama-sama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif.

 

Ismail Sabri berkata, doktrin COMSEC itu membolehkan Malaysia boleh mendepani cabaran pengurusan keselamatan negara masa kini dan akan datang. 

 

Beliau berkata, tonggak kepada pelaksanaan strategi keselamatan menyeluruh adalah amanah yang perlu dijunjung seluruh Keluarga Malaysia. 

 

"Saya menyeru kepada seluruh jentera kerajaan, khususnya perkhidmatan awam memainkan peranan memastikan strategi Keselamatan Menyeluruh dapat diterap dan diamalkan dalam seluruh aspek tadbir urus negara," katanya.

 

Beliau berkata, sudah tiba masanya MKN melaksanakan inisiatif Latih Amal Keselamatan Menyeluruh pada kadar segera bagi membolehkan tahap kesiapsiagaan dipertingkat, untuk Malaysia menghadapi sebarang potensi situasi krisis pada masa hadapan. 

 

Beliau berkata, inisiatif tersebut perlu melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta penglibatan pihak swasta. 

 

Malah katanya, perlu diintegrasikan aspek sukarelawan dan badan-badan bukan kerajaan khususnya melibatkan pelbagai segmen komuniti. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Setiap agensi kerajaan harus bersedia melalui mekanisme sedia ada untuk memulakan perancangan pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini pada kadar segera. Bagi tempoh tiga tahun akan datang, MKN harus memulakan suatu kerangka pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh untuk diuji di peringkat awal sebelum diperkemaskan secara berterusan," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, Keselamatan Negara merupakan salah satu kepentingan nasional yang perlu difahami dan diselami seluruh Keluarga Malaysia. 

 

Beliau berkata, sehubungan itu, MKN telah membangunkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang strategik dan komprehensif bagi mendepani unjuran pelbagai potensi isu, cabaran dan ancaman. 

 

"Selaku Pengerusi MKN, saya melihat dasar ini menjadi pelengkap kepada perancangan kerajaan, yang bermatlamatkan kemakmuran negara, termasuk Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). 

 

"Justeru, amat penting bagi aspek keselamatan negara dititikberatkan, dalam segenap aspek kehidupan Keluarga Malaysia, kerana tidak ada seorang pun yang inginkan keluarga berantakan apalagi keluarga yang tidak selamat dan tidak harmoni," katanya.

 

Beliau berkata, cabaran pengurusan keselamatan negara turut merangkumi aspek kehidupan seharian contohnya, sekuriti makanan memberi impak terhadap keselamatan negara, sekiranya ia tidak diurus dengan baik. 

 

"Isu sekuriti makanan tidak boleh dilihat dari sudut pertanian, penternakan, dan bekalan makanan semata-mata kerana ia turut berkait rapat dengan situasi ketidakstabilan yang berlaku di peringkat antarabangsa. Konflik Rusia-Ukraine, serta perubahan iklim yang ekstrem adalah contoh melibatkan kesan rantaian global, yang menyebabkan seluruh Keluarga Malaysia turut terkesan," katanya.

 

Katanya, jika tiada persediaan awal dibuat, negara pasti berdepan risiko yang akhirnya menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi, sekaligus mengakibatkan implikasi keselamatan yang serius. - DagangNews.com