Kenanga Research ramal sektor automotif, peruncitan tidak dapat rangsangan ketara daripada Akaun Fleksibel KWSP | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research ramal sektor automotif, peruncitan tidak dapat rangsangan ketara daripada Akaun Fleksibel KWSP

Sektor automotif dan peruncitan barangan bukan keperluan dijangka tidak menerima kesan ketara daripada kewujudan Akaun 3 KWSP./ Gambar DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 April - Kewujudan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diramal tidak memberi kesan ketara kepada sektor barangan bukan keperluan termasuk industri automotif.

 

Kenanga Research berkata, ini disebabkan para pencarum KWSP dijangka memperuntukkan dana daripada Akaun Fleksibel secara berhemat dengan perbelanjaan minimum untuk barangan bernilai tinggi.

 

"Mengimbas kembali pengenalan skim pengeluaran KWSP terakhir pada April 2022, jualan peruncit (Aeon, Parkson, Padini dan Metrojaya) melonjak tetapi kemudian turun dengan agak cepat manakala jualan bulanan kereta malap. 

 

"Kami percaya rangsangan kepada jualan peruncit akan lebih tenang kali ini berbanding apa yang kami lihat pada April 2022. 

 

"Ini kerana walaupun berlaku penyertaan penuh dalam Akaun Fleksibel sekali pun, jumlah pengeluaran pada tahun pertama dianggarkan hanya RM25 bilion berbanding RM44.6 bilion sebelum ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

 

ARTIKEL BERKAITAN KWSP tetapkan 10% caruman masuk ke Akaun 3, ahli boleh keluarkan pada bila-bila masa

 

Kata MIDF Research, secara keseluruhannya tiada perubahan pada ramalan pendapatan atau penilaian saham sektor pengguna. 

 

"Kami menjangkakan pendapatan yang lebih stabil daripada pengeluar barangan keperluan pengguna berbanding sektor barangan mengikut budi bicara seperti pakaian. 

 

"Walaupun pengguna mengurangkan perbelanjaan ketika inflasi tinggi, namun ia akan dilakukan secara minimum untuk barangan makanan," jelasnya.

 

Justeru kata firma penyelidikan itu, saranan kepada sektor pengguna dikekalkan pada Neutral meski pun selepas pengumuman KWSP mengenai Akaun Fleksibel.   

 

"Pilihan utama kami kekal F&N (OP; TP: RM33.80) dan MRDIY (OP; TP: RM1.95)," katanya. - DagangNews.com