KUALA LUMPUR 14 Sept - Kenanga Futures Sdn Bhd melancarkan inisiatif seluruh negara terbaharunya, kempen 'Kembangkan Masa Depan Dengan Niaga Hadapan' bagi membina sebuah komuniti dagangan derivatif yang pintar.
Kempen ini merupakan satu langkah penting dalam usaha untuk membina rangkaian pedagang yang bijak dan serba maklum.
Berbekalkan komitmen untuk memudahkan orang ramai melaksanakan transaksi niaga hadapan, kempen yang bermula pada 4 September lalu itu bertujuan mengurangkan halangan untuk orang ramai berdagang dengan menawarkan yuran pembukaan akaun lebih rendah, sesi bimbingan satu dengan satu dan transaksi dagangan tanpa yuran.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif dan Ketua Bahagian Derivatif Tersenarai Kenanga Futures, Azila Abdul Aziz berkata, pihaknya menggalakkan penglibatan pelabur runcit yang mana membuktikan usaha kempen untuk memperkasakan kewangan orang ramai.
Katanya, kempen ini menjemput pedagang baharu dan kurang berpengalaman untuk menceburi pasaran niaga hadapan, lantas memberi peluang mereka memanfaatkan potensi instrumen membolehkan pelabur mempelbagaikan portfolio dan menguruskan risiko.
"Niaga hadapan boleh digunakan sebagai satu cara yang berkesan untuk melindung nilai portfolio ekuiti, di samping mengambil kesempatan daripada turun naik pasaran harian.
"Keyakinan kami terletak pada kuasa ilmu untuk mencetus transformasi, kerana kami faham bahawa pedagang yang lebih maklum akan membuat keputusan dengan lebih yakin.

"Langkah melengkapkan pelanggan kami dengan alat, sumber dan sokongan pendidikan yang diperlukan dalam proses pembelajaran mereka sebagai pedagang menjadi teras pendekatan kami di Kenanga Futures," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, yuran pembukaan akaun dikurangkan kepada hanya RM10 berbanding yuran biasa RM3,000.
Para peserta yang berdagang sekurang-kurangnya 10 kontrak Bursa Malaysia Derivatives berpeluang untuk memenangi hadiah utama berupa sebuah Skuter Elektrik Pintar Blueshark R1 bernilai RM10,000.
Selain daripada ganjaran utama ini, peserta juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah lain, termasuk Skuter Elektrik Ultra-Light Series 4 bernilai RM1,200, dan kredit e-dompet Touch n’ Go bernilai RM500.
Tambahan lagi, seramai 50 peserta yang membuka akaun perdagangan dengan Kenanga Futures akan mendapat manfaat daripada sesi bimbingan satu dengan satu dan juga 20 dagangan tanpa komisen bagi semua produk Bursa Malaysia Derivatives yang dipaparkan di bawah.
Sebanyak 12 produk Bursa Malaysia Derivatives yang terangkum dalam kempen ini termasuk Crude Palm Oil Futures (FCPO), FBM KLCI Futures (FKLI), Options on FKLI, Gold Futures, Mini FBM 70 Index Futures, Options on FCPO, KLIBOR Futures, USD Crude Palm Oil Futures, RBD Palm Olein, East Malaysia Crude Palm Oil Futures, dan 5-Year MGS Futures. - DagangNews.com








