Kemarau panjang tingkatkan pencemaran toksin kulat dalam dedak haiwan, ancam penternak kecil | DagangNews Skip to main content

Kemarau panjang tingkatkan pencemaran toksin kulat dalam dedak haiwan, ancam penternak kecil

Oleh Dr. Nik Iskandar Putra Samsudin

SEKTOR pertanian adalah antara tunjang pembangunan ekonomi di Malaysia, dan dikelompokkan kepada sub-sektor penanaman, penternakan, pembalakan dan perhutanan, dan perikanan.

 

Berdasarkan Statistik Ekonomi Tahunan 2022 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia, sub-sektor penternakan menduduki tempat kedua selepas penanaman dari segi nilai output kasar dan bilangan pekerja.

 

Menerusi Belanjawan 2023, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerima peruntukan sebanyak RM5.39 bilion berbanding RM4.81 bilion pada tahun sebelumnya. Peningkatan peruntukan tahunan ini membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia MADANI dalam memacu sektor pertanian sebagai sektor yang berdaya tahan, berdaya saing, dan berteknologi tinggi.

 

Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa penternak kecil, yang merupakan tulang belakang sektor pertanian kita, menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman yang membimbangkan antaranya pencemaran toksin kulat dalam dedak haiwan ternakan. Isu ini menimbulkan risiko besar kepada kesejahteraan haiwan ternakan serta kestabilan ekonomi penternak kecil.

 

Dedak berfungsi sebagai sumber nutrisi penting untuk haiwan ternakan bagi menjamin tumbesaran, kesihatan, dan produktiviti. Malangnya, pencemaran toksin kulat dalam dedak haiwan ternakan adalah satu isu yang meluas dan berpanjangan. Ini kerana pola iklim khatulistiwa di Malaysia dan negara serantau yang panas dan lembap sepanjang tahun sangat sesuai untuk pertumbuhan kulat dan penghasilan toksinnya.


 

Dr. Nik Iskandar Putra Samsudin
      Dr. Nik Iskandar Putra Samsudin

 


Toksin kulat, yang juga dikenali sebagai mikotoksin, dihasilkan oleh jenis kulat tertentu yang boleh menjangkiti tanaman seperti jagung, gandum, dan kacang soya, yang lazim digunakan dalam formulasi dedak haiwan ternakan. Isu ini diburukkan lagi dengan keadaan negara dan dunia yang bergelut dengan fenomena El Nino yang menyebabkan musim kemarau berpanjangan dan penurunan taburan hujan.

 

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan berdepan dengan El Nino bermula April sehingga September tahun ini. Menurut kajian, keadaan ini akan merancakkan lagi pertumbuhan kulat dan penghasilan mikotoksinnya. Selain perubahan iklim, pencemaran mikotoksin dalam dedak haiwan ternakan juga dipengaruhi oleh amalan pengurusan ladang dan kaedah penyimpanan dedak.

 

Mikotoksin

Dalam dedak haiwan ternakan, mikotoksin yang paling lazim dikesan adalah aflatoksin, deoksinivalenol, fumonisin, okratoksin, dan zearalenon. Mikotoksin ini boleh membawa kesan buruk  kepada kesihatan haiwan ternakan seperti jangkitan penyakit (jangkitan primer), pengurangan selera, tumbesaran, dan penghasilan susu, penurunan fungsi imun, dan juga kematian.

 

Selain itu, mikotoksin juga boleh mencemarkan produk makanan hasilan haiwan seperti susu, telur, dan daging, lantas menimbulkan risiko kepada kesihatan manusia selaku pengguna (jangkitan sekunder). 

 

Penternak kecil amat terdedah kepada kesan pencemaran mikotoksin dalam dedak haiwan ternakan. Sumber dan infrastruktur yang terhad sering menyekat kemampuan mereka untuk melaksanakan langkah kawalan yang komprehensif.

 

Kemudahan penyimpanan yang tidak mencukupi, keadaan cuaca yang berubah-ubah, dan kekurangan akses kepada perkhidmatan ujian dan pemantauan yang boleh dipercayai memburukkan lagi risiko yang mereka hadapi. Akibatnya, penternak kecil akan hilang mata pencarian disebabkan oleh penurunan produktiviti haiwan ternakan, peningkatan kos veterinar, dan risiko penolakan produk mereka oleh pasaran.

 

Mencegah dan mengurus pencemaran mikotoksin dalam dedak haiwan ternakan memerlukan pendekatan pelbagai aspek. Dengan memahami kesan pencemaran mikotoksin dalam dedak haiwan ternakan, dan melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan kulat, penternak kecil akan dapat memastikan daya tahan komuniti mereka dalam mendepani cabaran ini.


 

mikotoksin
Jagung yang sudah tercemar dengan mikotoksin

 


Penternak kecil boleh mengamalkan amalan pertanian yang baik (GAP), termasuk amalan penyimpanan dedak yang berkesan, seperti mengekalkan pengudaraan yang betul, kawalan suhu, dan pengurusan kelembapan.

 

Selain itu, ujian berterusan dan pemantauan berkala dedak haiwan ternakan juga penting bagi pengesanan awal dan pencegahan pencemaran mikotoksin.

 

Usaha kerjasama antara penternak, perkhidmatan pengembangan pertanian, dan institusi penyelidikan seperti UPM dan MARDI boleh memberikan penternak kecil akses kepada perkhidmatan ujian yang berpatutan dan boleh diguna pakai. Maklumat ini boleh membantu penternak membuat keputusan tepat mengenai kualiti dedak untuk penggunaan haiwan ternakan, dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan risiko pencemaran mikotoksin.

 

Sokongan kerajaan dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan juga penting dalam menangani cabaran pencemaran mikotoksin yang dihadapi oleh penternak kecil. Inisiatif pembiayaan yang menggalakkan penyelidikan mengenai strategi pengurangan mikotoksin boleh membantu penternak kecil dalam melindungi haiwan ternakan dan mata pencarian mereka.

 

Pendedahan terhadap risiko pencemaran mikotoksin dalam dedak haiwan ternakan juga penting. Dengan meningkatkan kesedaran tentang bahaya mikotoksin, kesannya terhadap kesihatan haiwan ternakan, dan langkah-langkah untuk mencegah pencemarannya, penternak boleh bertindak secara proaktif untuk melindungi haiwan ternakan mereka, dan mengurangkan risiko pencemaran mikotoksin dalam dedak haiwan ternakan.


 

mikotoksin

 

mikotoksin
Jagung tercemar yang dijadikan dedak adalah berbahaya kepada haiwan

 


Kerjasama antara penternak, organisasi pertanian seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan agensi kawal selia juga penting dalam menangani cabaran pencemaran mikotoksin dalam dedak haiwan ternakan.

 

Dengan kewujudan rangkaian sokongan, penyebaran maklumat, dan pertukaran pengetahuan, penternak kecil dapat mengetahui perkembangan terkini, peraturan, dan amalan terbaik dalam pengurusan mikotoksin.

 

Kesimpulannya, pencemaran mikotoksin dalam dedak haiwan ternakan memberi ancaman besar kepada penternak kecil, menjejaskan kesihatan haiwan ternakan dan kestabilan ekonomi.

 

Dengan melaksanakan langkah pencegahan, melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, menggalakkan kesedaran dan pendidikan, dan memupuk kerjasama, kita boleh mengurangkan risiko pencemaran dedak haiwan ternakan oleh mikotoksin.

 

Ini akan memperkasakan penternak kecil untuk berkembang maju dalam sektor pertanian yang berdaya tahan dan mampan, seterusnya memastikan kesejahteraan ternakan, kecukupan makanan, dan kesihatan masyarakat kekal terjamin.

 

Iklim pasti akan terus berubah, dan kita selaku insan pasti tidak akan dapat mengawalnya. Apa yang boleh kita lakukan ialah bergabung tenaga, buah fikiran, dan kemampuan dalam menghadapi ancaman dan cabaran tersebut. - DagangNews.com

 

 

Dr. Nik Iskandar Putra Samsudin merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM/ Penyelidik Bersekutu, Institut Pertanian Tropika dan Keselamatan Makanan, UPM


 

parafrasa