PUTRAJAYA 19 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tanggungjawab memastikan Malaysia kekal berdaulat, aman dan sejahtera bukan terletak di bahu pasukan keselamatan dan jentera kerajaan semata-mata tetapi turut menjadi tanggungjawab bersama seluruh Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri berkata, konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskan sejak Ogos lalu membawa semangat yang amat relevan dan mempunyai sinergi dengan Falsafah Keselamatan Negara.
Beliau berkata, Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, hidup dalam keadaan selamat dan harmoni dengan berpegang kepada tiga nilai utama iaitu ‘Keterangkuman’, Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran'.
"Keselamatan negara bukan hanya merentas hierarki sosial dalam masyarakat, malah saling melangkau pelbagai sektor yang turut melibatkan aspek kedaulatan negara, sosial, ekonomi, politik, teknologi, tadbir urus serta hubungan antarabangsa.
"Ia juga membuktikan bahawa idea Keluarga bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata tetapi kepentingan dan kesejahteraan rakyat diutamakan seperti menjaga sebuah keluarga," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Persidangan Keselamatan Negara dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022, di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri, konsep Keluarga Malaysia juga bukan sesuatu yang sukar untuk dihadam.
"Mengambil contoh, jika ada ahli keluarga kita yang terancam, kita akan sama-sama menghadapi dan mempertahankannya. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit.

"Malah ada falsafah mengatakan, jika kita ingin mengubah negara menjadi lebih selamat dan sejahtera, kita juga mestilah bermula dari keluarga yang harmoni, utuh dan sejahtera," katanya. - DagangNews.com








