KUALA LUMPUR 18 Mac - Kelington Group Berhad mengambil langkah strategik ke hadapan dalam strategi pertumbuhan globalnya dengan berkembang ke Jerman dan Hong Kong.
Penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu itu berkata, langkah tersebut membuka peluang kepada kumpulan untuk memanfaatkan industri semikonduktor global yang berkembang pesat dan meluaskan jangkauan geografinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Raymond Gan optimis terhadap prospek industri semikonduktor, yang mana pembuat cip secara agresif mengembangkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi lonjakan permintaan, didorong oleh faktor seperti kepelbagaian geopolitik dan keperluan untuk teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), internet of things (IoT), kenderaan elektrik dan Industri 4.0.
Beliau berkata permintaan untuk kemudahan pembuatan semikonduktor kekal kukuh memandangkan teknologi terus maju.
Pertumbuhan peralatan pembuatan semikonduktor dijangka kembali pada 2024 setelah menguncup tahun lalu kerana sifat kitaran industri, manakala jualan diramalkan pulih dengan kukuh pada 2025, tambahnya.
“Jerman dan Hong Kong adalah hab utama untuk inovasi dalam sektor ini dan kami optimis dapat menguasai bahagian pasaran yang lebih besar daripada perbelanjaan modal semikonduktor global dalam kedua-dua pasaran ini.
“Dengan memanfaatkan rekod prestasi kumpulan dalam menyelesaikan projek berjaya untuk pelanggan multinasional (MNC) terkemuka di Malaysia, Singapura, China dan Taiwan, kami berupaya menarik pelanggan baharu di Jerman dan Hong Kong, serta memberi perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada yang sedang memperluaskan jejak pembuatan mereka di wilayah ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagi memperluaskan perniagaannya di Jerman dan Hong Kong, Kelington telah menubuhkan Kelington Engineering (Jerman) GmbH dan Kelington Engineering (HK) Limited sebagai anak syarikat milik penuh tidak langsung. - DagangNews.com








