Kawan Renergy meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kawan Renergy meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - Kawan Renergy Bhd memeterai perjanjian taja jamin bersama M & A Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Pengarah Urusan Kawan Renergy, Ir. Lim Thou Lai berkata, pelaksanaan IPO itu akan mempercepatkan rancangan pengembangannya dan membolehkan mereka memanfaatkan pasaran modal ekuiti serta memberikan kemudahan kewangan lebih baik.

 

Beliau berkata, hasil IPO akan digunakan sebagai modal kerja untuk kumpulan melaksanakan lebih banyak projek berkualiti, meningkatkan rantaian nilai serta mengukuhkan penjanaan kuasa dan penjualan perniagaan tenaga.

 

"Industri peralatan perindustrian terus menunjukkan prospek yang menjanjikan, disokong oleh permintaan yang semakin baik daripada pelbagai sektor yang menggunakan peralatan tersebut.

 

"Peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia bersedia untuk meningkatkan penggunaan peralatan perindustrian kami, terutamanya untuk sektor seperti oleokimia, industri makanan, utiliti, minyak dan gas serta bahan api mampan.

 

"Kelemahan Ringgit Malaysia juga membantu menjadikan produk kami lebih berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu terlibat dengan reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan pentauliahan peralatan proses industri, kilang pemprosesan serta tenaga boleh diperbaharui (RE) dan loji penjanaan bersama.

 

Kawan Renergy juga terlibat dengan penjanaan kuasa dan penjualan perniagaan elektrik melalui Loji Bercham, loji janakuasa biogas tapak pelupusan yang terletak di Ipoh, Perak dengan kapasiti terpasang 1.2 megawatt (MW) elektrik dan kapasiti eksport bersih 1.0 MW.

 

IPO kumpulan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 110 juta saham biasa baharu, mewakili 20% daripada modal saham yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 34.5 juta saham sedia ada atau 5.3% daripada modal saham yang diperbesarkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan dan 1% kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Daripada 110 juta saham baharu, 27.5 juta saham akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian, manakala 19.3 juta saham diperuntukkan untuk Pengarah dan pekerja yang layak serta orang yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan makala baki 63.2 juta saham dikhaskan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh MITI.

 

Kawan Renergy dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE menjelang suku kedua 2024, dengan M & A Securities sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.- DagangNews.com