KUALA LUMPUR 25 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara kini berdepan cabaran utama apabila populasi perempuan pada tahun 2020 adalah 47.7% iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia, sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2021 adalah 55.5% sahaja.
Ismail Sabri berkata, kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura sebanyak 69.7% dan Thailand sebanyak 66.8%.
Beliau berkata, kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi tetapi bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh, penglibatan wanita adalah rendah.
"Sehubungan dengan itu, kerajaan pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) bersetuju mewujudkan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Wanita ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.
Terdahulu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mencemar duli ke sambutan tersebut dan berkenan melancarkan buku 'Keberanian Pelopor NCWO, Inspirasi Perjuangan Masa Kini'.
Menurut Perdana Menteri, bagi tujuan mengupayakan wanita, ia perlu bermula daripada keperluan asas mereka iaitu kemampuan untuk menjana pendapatan bagi kelangsungan hidup mereka dan keluarga.

Beliau berkata, beberapa inisiatif telah dilaksanakan antaranya melaksanakan program TEKUNNita di bawah TEKUN Nasional yang melibatkan peruntukan sebanyak RM19.9 juta bagi tahun 2022.
"Sehingga kini seramai 1,264 usahawan wanita telah menerima manfaat. Manakala, sehingga 31 Julai, seramai 265 peserta telah mendapat pembiayaan di bawah program DanaNita dengan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah MARA.
"Program MyKasih Kapital pula telah dilaksanakan bagi memberi bantuan asas modal perniagaan secara 'one-off' sebanyak RM500 bagi menggalakkan wanita berniaga. Program ini telah bermula sejak April 2021 hingga Julai 2022 dan seramai 10,496 wanita dalam kalangan B40 telah menerima manfaat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan Program Wanita Bangkit@KPWKM yang melibatkan kerjasama strategik dengan lebih 50 agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan aktiviti keusahawanan, yang memberi manfaat kepada lebih 40,000 wanita di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, sesuai dengan tema sambutan ‘Keberanian Pelopor NCWO, Inspirasi Perjuangan Wanita Masa Kini’, semua mengakui bahawa peranan wanita masa kini sangat besar malah tiada noktah dan tandingannya.
"Tema ini juga amat bertepatan dan selari dengan usaha dan komitmen kerajaan bagi meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam pelbagai aspek pekerjaan dan kehidupan," katanya.
Katanya, NCWO telah mewarnai perjuangan wanita sejak 60 tahun yang lepas hingga kini.
"Tahniah saya ucapkan. Namun, saya harapkan agar NCWO terus menjadi rakan strategik dalam pembangunan negara. Saya menyeru semua wanita terutamanya dalam gabungan NCWO agar terus bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam membangunkan Malaysia yang tercinta ini," katanya. - DagangNews.com








