JomRun KL Tower International Towerthon Challenge dijangka tarik 2,000 penyertaan pada 14 Ogos 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JomRun KL Tower International Towerthon Challenge dijangka tarik 2,000 penyertaan pada 14 Ogos 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai - JomRun membawakan semula acara JomRun KL Tower International Towerthon Challenge (KLTITC) yang ikonik selepas berehat selama 2 tahun daripada acara fizikal. 

 

Larian mendaki anak tangga terkemuka Malaysia itu akan berlangsung pada 14 Ogos 2022, Ahad jam 6 pagi dan dijangka menarik lebih 2,000 peserta.

 

Dengan rekod prestasi selama 19 tahun, KLTITC telah mengukuhkan dirinya sebagai acara sukan terkenal di Malaysia yang menarik pelari dari seluruh dunia. 

 

Larian ini menawarkan cabaran unik kepada pelari, menampilkan pendakian 2058 anak tangga yang membawa penyudah ke salah satu puncak tertinggi di Kuala Lumpur pada ketinggian 288 meter di atas paras tanah.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan JomRun, Chang Yi Hern  berkata, pihaknya berbangga kerana dapat membawa kembali salah satu larian yang paling dikenali di Malaysia. 

 

"JomRun KL Tower International Towerthon Challenge telah mencabar dan memberi inspirasi kepada beribu-ribu orang selama ini dan kami tahu ia akan melakukan perkara yang sama sekali lagi tahun ini.

 

“Sebagai penganjur larian menara profesional pertama dan satu-satunya di Malaysia dengan perlumbaan kami mematuhi peraturan Persatuan Dunia Towerrunning, kami telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan setiap peserta. 

 

 

jomrun
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (tengah) ketika sidang akhbar JomRun KL Tower International Towerthon Challenge.

 

 

"Maksudnya, untuk mengelakkan sebarang kecederaan atau peristiwa malang, pelari akan berlari menaiki menara 1 dengan 1 dan pemenang akan berdasarkan masa yang diambil untuk menyelesaikan keseluruhan cabaran. 

 

"Tahun ini, kami gembira melihat majoriti peserta kami setakat ini adalah warga Malaysia dan warga asing dari Singapura, Brazil, Jepun, Jerman dan banyak lagi, dengan peserta tertua kami berusia 73 tahun dan yang termuda hanya 11 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

jomrun

 

 

Pemenang kategori terbuka masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi, dengan tempat kedua menerima RM500 serta trofi, selain tempat ketiga mendapat RM250 dan trofi. Bagi kategori veteran, pemenang akan menerima RM500, RM250 dan RM100 masing-masing bersama trofi.

 

Setiap peserta layak menerima jersi acara Ultron Superlite, bib perlumbaan dengan cip pemasaan TrackAsia RFID, sijil E, insurans kemalangan diri, jamuan ringan dan pingat penamat bagi mereka yang melengkapkan cabaran. Penyudah juga boleh memilih untuk menambah jersi Premium Finisher eksklusif yang tersedia pada harga diskaun RM49.99.

 

Pendaftaran KLTITC kini dibuka dan ditutup pada 12 Ogos 2022. Warganegara Malaysia yang ingin menyertai boleh menikmati kadar pendaftaran awal istimewa RM80 manakala peserta antarabangsa boleh mendaftar sekarang pada RM120. - DagangNews.com