JC3 umum 5 inisiatif utama percepat peralihan perniagaan, pertanian ke arah amalan rendah karbon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JC3 umum 5 inisiatif utama percepat peralihan perniagaan, pertanian ke arah amalan rendah karbon

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) mengumumkan lima inisiatif utama untuk mempercepat peralihan perniagaan dan petani ke arah amalan rendah karbon.

 

Pengumuman yang dibuat pada Persidangan JC3 Journey to Zero yang bermula pada hari ini menekankan komitmen JC3 untuk melaksanakan tindakan iklim yang dipercepatkan dan pada masa yang sama menegaskan peranan industri kewangan yang sangat penting bagi menggerakkan agenda kelestarian untuk negara.

 

Lima inisiatif utama itu merangkumi usaha menghijaukan taman perindustrian iaitu projek rintis antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan SIRIM yang bertujuan melaksanakan peralihan pengurusan taman perindustrian dan operasi syarikat penyewa mereka kepada amalan rendah karbon dan lestari. 

 

Inisiatif itu termasuk membangunkan infrastruktur seperti pengurusan sisa bersepadu, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta sistem pengukuran, pemantauan dan pelaporan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases, GHG) dan juga sistem pengesahan.

 

Selain itu ia melibatkan program penghijauan rantaian nilai dengan Bursa Malaysia yang merupakan susulan daripada program rintis renghijauan rantaian nilai (Greening Value Chain, GVC) JC3, Platform Perisikan Kelestarian Berpusat (Centralised Sustainability Intelligence, CSI) Bursa Malaysia kini bekerjasama dengan program GVC JC3. 

 

Program GVC JC3 ini telah diumumkan pada tahun 2022 bersempena dengan Hari Kewangan di COP-27 dan telah membolehkan lebih 80 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan empat syarikat korporat perserta mula mengukur dan melaporkan pelepasan GHG mereka,

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, BNM akan terus menyediakan persekitaran dasar yang memudahkan industri untuk memajukan inovasi kewangan serta meneroka struktur kewangan baharu, yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pembiayaan yang besar bagi mengurangkan dan menyesuaikan risiko iklim. 

 

"Usaha ini akan memerlukan peranan perkongsian awam-swasta yang dipertingkatkan serta struktur kewangan campuran yang inovatif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sejak mengambil alih pemerintahan, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menyumbang kepada tindakan iklim dan mengubah ekonomi negara.

 

“Belanjawan 2024 adalah berdasarkan pada Ekonomi Madani dengan langkah-langkah holistik untuk menangani perubahan iklim dan menjadi pelengkap kepada dasar lain seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR), Pelan Induk Perindustrian Baru (New Industrial Master Plan, NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," kata beliau.

 

Inisiatif itu juga merangkumi skim jaminan portfolio pembiayaan ESG sebanyak RM1 bilion dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) bekerjasama dengan 18 bank perserta akan menawarkan skim jaminan bagi menyokong akses pembiayaan yang lebih luas kepada PKS.

 

Selain itu, portal sehenti dalam talian bagi PKS mengakses maklumat asas untuk memulakan peralihan kelestarian mereka kini tersedia menerusi laman web JC3. 

 

Dalam pada itu, JC3 sedang mengambil langkah bagi memperkasakan lagi sektor pertanian melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Lembaga Pertubuhan Peladang  dan Malaysia Digital Economy Corporation untuk menjadi perintis program Green AgriTech, dengan memberikan tumpuan utama kepada agenda ESG sektor pertanian. 

 

Program itu bertujuan untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan amalan pertanian lestari dalam kalangan petani tempatan. - DagangNews.com