Industri, perusahaan di Malaysia dijangka penerima manfaat dan pengguna awal 5G – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri, perusahaan di Malaysia dijangka penerima manfaat dan pengguna awal 5G – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Industri dan perusahaan di Malaysia dijangka menjadi penerima manfaat dan pengguna awal 5G pada masa ini, mendahului pengguna individu tradisional, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun berkata tahap kesedaran tentang keupayaan 5G masih kurang dalam kalangan komuniti perniagaan di negara ini

 

Oleh itu, katanya, pengewangan 5G akan mengambil masa dan akhirnya berlaku apabila kesedaran, tawaran pengguna dan liputan dipertingkatkan.

 

Memetik perkongsian Penasihat kepada Presiden dan bekas Ketua Pegawai Teknologi Huawei Technologies, Kees Lemmens dalam Persidangan dan Pameran MY5G anjuran CelcomDigi, Kenanga Research berkata kekurangan kesedaran tentang potensi dan faedah 5G merupakan cabaran terbesar ketika ini.

 

“Selain itu, sesetengah ahli komuniti perniagaan enggan melakukan transformasi serta memilih sistem dan proses untuk kekal sebagai status quo.

 

“Ini boleh ditunjukkan oleh keengganan mereka untuk komited terhadap pelaburan teknologi yang besar dan justeru, mungkin menimbulkan halangan kepada penggunaan perkhidmatan 5G,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selain itu, firma itu difahamkan bahawa terdapat beberapa tentangan daripada syarikat telekomunikasi untuk menyelaraskan semula strategi pemasaran mereka untuk memberi tumpuan kepada perusahaan dan bukannya pengguna tradisional apabila menjual perkhidmatan 5G.

 

Firma itu berkata Ketua Strategi SK Telecom (SKT), Will Cho, mendedahkan bahawa 64% daripada pelanggannya (15.7 juta) adalah pengguna 5G.

 

Namun begitu, beliau percaya bahawa penggunaan 5G masih di peringkat awal di Korea walaupun SKT telah mula mengkomersialkan 5G pada Januari 2019.

 

Ini sejajar dengan pandangan Lemmens bahawa 5G akan kekal sekurang-kurangnya sehingga 2030.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan CelcomDigi dengan saranan ‘outperform dan harga sasaran (TP) RM5.07 sesaham.

 

Pada pukul 12 tengah hari ini, saham CelcomDigi susut 2 sen atau 0.5% kepada RM4.20, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM49.3 bilion. - DagangNews.com