KUALA LUMPUR 3 Sept - CapsuleTransit membuka hotel transit mewah lapangan terbang pertama Malaysia yang menawarkan kemudahan setaraf hotel 5-bintang di dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2).
CapsuleTransit MAX itu dilengkapi dengan 46 katil premium, ruang istirahat, spa dan kemudahan gymnasium.
Majlis pelancaran pembukaan CapsuleTransit MAX itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew.
Loke, dalam ucapan perasmiannya berkata, pelancaran itu sejajar dengan usaha Malaysia dalam menyambut ketibaan pelancong dan pengembara perniagaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CapsuleTransit, Ryan Loo, berkata, CapsuleTransit MAX menggabungkan elemen kemewahan, warisan budaya, dan sentuhan moden untuk memberikan pengalaman penginapan yang unik.
“MAX juga memperkenalkan tetamu kepada kekayaan budaya Malaysia serta menampilkan bakat terbaik tempatan.
“Ruang dan suasana di MAX direka dengan teliti oleh Blu Water Studio, firma reka bentuk terkenal yang memenangi anugerah antarabangsa, untuk menggambarkan bakat dan kreativiti Malaysia.
“Di samping itu, kami juga berkolaborasi dengan beberapa jenama tempatan yang terkenal seperti Acaya, APOM, Ana Tomy, Pestle and Mortar Clothing (PMC), serta Typical Us untuk menampilkan hasil kraf tempatan yang autentik, menjadikan pengalaman menginap di hotel ini benar-benar istimewa,” ujarnya.
Sebagai hotel kapsul premium yang pertama di KLIA2, Loo menjelaskan CapsuleTransit MAX akan meningkatkan keselesaan dan kemudahan semasa transit, memastikan setiap perjalanan menjadi lebih lancar dan menyenangkan.
Loo juga berkata, hotel tersebut menyediakan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan pelancong.
Turut hadir semasa majlis pelancaran tersebut adalah Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Hani Ezra Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif WCT Malls, Selena Chua.- DagangNews.com








