KUALA LUMPUR 29 Sept - Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang mula diperkenalkan pada 2019 dilihat memburukkan lagi masalah lebihan bekalan dalam pasaran hartanah memandangkan pemaju memberi lebih tumpuan kepada projek pelancaran baharu, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Penganalisisnya, Tan Kai Shuen berkata, ketika tempoh pandemik, kempen itu dilanjutkan pada 2020-2021 tetapi lebihan bekalan rumah tidak berkurangan, sebaliknya terus meningkat dan semakin memuncak pada Disember 2021.
Ini kerana katanya, HOC tidak sahaja terhad kepada unit rumah yang telah siap tetapi pemaju juga dibenarkan melancarkan projek baharu di bawah kempen berkenaan dengan adanya insentif diberikan.
"Memandangkan HOC mempunyai keperluan diskaun 10% kepada harga hartanah, pemaju dapat menetapkan harga pelancaran baharu mereka untuk mengambil kira diskaun 10%, sementara terdapat kurang fleksibiliti dalam pelarasan harga untuk inventori yang telah siap.
"Disebabkan ini, pemaju memberi tumpuan untuk menjual pelancaran baharu dan bukannya daripada inventori yang telah siap, ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan dalam inventori yang telah siap.
"Kami percaya peningkatan bekalan perumahan sebahagiannya telah menyumbang kepada pertumbuhan perlahan dalam harga perumahan seperti yang ditunjukkan dalam Indeks Harga Rumah (HPI), yang mana ia menguncup 1.17% pada suku kedua," katanya dalam nota kajian hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, kebanyakan pemaju mengharapkan HOC dapat diperkenalkan semula dalam Bajet 2023, yang akan dibentangkan 7 Oktober ini.
Disebabkan kekurangan buruh yang mengakibatkan kemajuan pembinaan yang lebih rendah, jualan daripada pelancaran baharu akan menyebabkan aliran tunai yang lebih perlahan dan pengiktirafan hasil yang lebih rendah kepada pemaju.
Untuk memudahkan aliran tunai yang lebih baik dan memastikan pengiktirafan pendapatan yang stabil, pemaju berkemungkinan akan mengalihkan tumpuan mereka kembali kepada menjual inventori yang telah siap.
Menurut Kai Shuen, usaha untuk membersihkan inventori yang telah siap ditambah dengan kelembapan dalam pelancaran baharu seharusnya membantu mengurangkan bekalan perumahan.
Data hartanah tidak terjual telah menunjukkan pengurangan secara berturut-turut berurutan pada suku pertama dan kedua tahun ini setelah meningkat tinggi pada suku keempat 2021.
"Pengurangan berterusan dalam hartanah tidak terjual sepatutnya menyokong kenaikan harga rumah yang lebih sihat seiring dengan pertumbuhan inflasi," jelasnya.

Memandangkan Bajet 2023 dilihat sebagai bajet sebelum pilihan raya, beliau menyifatkan sebarang langkah yang diperkenalkan berkemungkinan disasarkan kepada kumpulan pembeli B40 dan M40.
"Oleh itu, sebarang langkah yang disasarkan untuk membantu pemaju mungkin kurang diberi tumpuan kerana kerajaan mahu memberi lebih banyak manfaat kepada golongan berkenaan.
"Antaranya, termasuklah seperti pengecualian cukai persendirian untuk pembeli rumah pertama dan mengurangkan kos pembiayaan bagi penjawat awam," katanya.
Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga mengharapkan kerajaan meluluskan pengecualian duti setem 100% untuk hartanah berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta dengan syarat ia adalah untuk pembeli rumah kali pertama dan bagi pemaju untuk memberikan diskaun minimum 10%.
"Walaupun kami menyedari bahawa kempen i-Miliki sudah dilaksanakan, namun kami tidak menolak kemungkinan HOC diperkenalkan semula memandangkan langkah ini lebih menarik daripada i-Miliki dan ia akan memberi manfaat ketara secara langsung kepada pembeli kumpulan M40 yang sering diabaikan," jelasnya.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah memandangkan permintaan hartanah jangka pendek akan disokong oleh pemulihan ekonomi yang sihat dan pasaran pekerjaan yang bertambah baik.
Tetapi, Kai Shuen berkata, ia sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan kadar faedah dan peningkatan kos sara hidup.
"Pada 2023, prospek permintaan masih kurang jelas disebabkan oleh risiko kemelesetan global yang semakin meningkat di Amerika Syarikat, United Kingdom dan China, yang akan memberi kesan kepada Malaysia dari segi hubungan dagangan.
"Memandangkan kesihatan ekonomi adalah pemacu terbesar bagi pasaran hartanah, kelembapan dalam ekonomi tempatan sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada pasaran hartanah," katanya. -DagangNews.com








