HLIB semak turun harga sasaran VS Industry kepada RM1.14 dengan saranan 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB semak turun harga sasaran VS Industry kepada RM1.14 dengan saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap VS Industry Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.14 daripada RM1.21 sesaham selepas prestasi kewangan suku ketiga tersasar daripada jangkaan.

 

Pada suku berakhir 30 April 2022 itu, untung bersihnya susut 30.1% kepada RM51.29 juta berbanding RM73.38 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan kumpulan bagi tempoh itu juga susut 13.69% kepada RM927.59 juta daripada RM1.07 bilion.

 

Sebahagian besar prestasi kumpulan dipengaruhi oleh penghantaran pesanan yang lebih rendah kepada pelanggan utama disebabkan kekurangan buruh di seluruh industri serta gangguan berpanjangan dalam rantaian bekalan global yang menjejaskan bekalan komponen.

 

Bagaimanapun, HLIB berkata, sebagai pemain pengeluar perkhidmatan elektronik (EMS) terbesar di Malaysia, VS Industry mampu mengharungi badai yang melanda di samping meneroka peluang daripada lencongan perdagangan.

 

Katanya, cabaran berterusan disebabkan kekurangan buruh dan komponen daripada gangguan rantaian bekalan menyebabkan kumpulan itu tidak dapat memenuhi jumlah pesanan yang diminta daripada pelanggan.

 

"Namun begitu, prospek kekal utuh dengan beberapa perbincangan yang dijalankan dengan pelanggan baharu untuk menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan. 

 

"Terdapat prospek kukuh daripada Pelanggan X dengan pengalihan pesanan daripada pembuatan kontrak lain berikutan isu buruh baru-baru ini.

 

"Kami turut menjangkakan kadar penggunaan bagi kemudahan di i-Park Senai Airport City berkeluasan 300,000 kaki persegi akan meningkat dengan stabil pada suku-suku akan datang dengan kemasukan pekerja asing," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun, menyemak turun unjuran hasil VS Industry bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak -12%, -122% dan -10% dengan mengambil kira tempoh matang sebelum pemulihan pendapatan.

 

Setakat 10.37 pagi ini, harga saham VS Industry susut 1 sen atau 0.98% kepada RM1.01 dengan 836,300 saham diniagakan. - DagangNews.com