HLIB positif terhadap prospek SAM Engineering didorong pendedahan dalam segmen aeroangkasa, semikonduktor | DagangNews Skip to main content

HLIB positif terhadap prospek SAM Engineering didorong pendedahan dalam segmen aeroangkasa, semikonduktor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap prospek SAM Engineering & Equipment (M) Bhd didorong pelbagai faktor termasuk pendedahannya dalam segmen aeroangkasa serta semikonduktor.

 

Katanya, industri semikonduktor global beransur-ansur pulih dan sedang berada dalam kitaran menaik manakala sektor aeroangkasa kembali stabil selepas perjalanan udara pulih kepada lebih 99% berbanding tahap pra pandemik.

 

"Walaupun pengembangan kumpulan di Thailand mengambil masa yang agal lama kerana sedang berada dalam tempoh tunggu hasil tetapi kerugian mula menguncup pada setiap suku tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan pendapatan teras sebanyak RM27 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2023 (3QFY24) menjadikan jumlah untuk tempoh sembilan bulan kepada RM74 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perniagaan aeroangkasa SAM Engineering berubah pada 3QFY24 dengan pengumuman rancangan bagi meningkatkan kadar pengeluaran dalam usaha menyelesaikan tempahan tunggakan yang besar.

 

Katanya, bagi mengurangkan tekanan rantaian bekalan, rancangan strategik syarikat untuk menubuhkan pembuatan aeroangkasa di Thailand sedang dijalankan dan tapak Ban Bueng (BB1) mereka telah memperoleh pensijilan AS9100.

 

Sementara itu, HLIB berkata, pengambilalihan Aviatron oleh SAM Engineering selesai pada 26 Februari 2024 dan ia akan melengkapkan kumpulan itu dengan keupayaan baharu dalam platform pesawat, pengetahuan kejuruteraan dan kecekapan dalam ujian tanpa musnah (NDT) dan proses serta pemasangan khusus.

 

Katanya, penyatuan dengan Aviatron diunjur meningkatkan sumbangan aeroangkasa daripada 23% kepada 35%.

 

"Dengan Aviatron, SAM Engineering berada pada kedudukan yang baik untuk menceburi perniagaan struktur pesawat," katanya.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun menyemak turun penarafan SAM Engineering kepada 'pegang' berbanding 'beli' pada harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu RM4.92 sesaham.- DagangNews.com