Hextar Technologies ceburi bidang fintech dengan aplikasi MoneyX galak celik kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Technologies ceburi bidang fintech dengan aplikasi MoneyX galak celik kewangan

Gambar ihsan laman web MoneyX
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Hextar Technologies Solutions Berhad (HexTech) telah menceburi bidang fintech dengan pengenalan aplikasi super mudah alih MoneyX.

 

Aplikasi tersebut mengurus maklumat kewangan peribadi dengan alatan yang disokong kecerdasan buatan (AI), yang dilancarkan buat pertama kalinya oleh anak syarikat HexTech, Hextar Vision Sdn Bhd pada September tahun ini.

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, HexTech berkata MoneyX bermatlamat untuk menggalakkan celik kewangan dan pengurusan, dengan menjadikan maklumat berkaitan produk dan perkhidmatan kewangan sedia ada boleh diakses dan mudah difahami pengguna, sekali gus memperkasa pengguna dalam membuat keputusan kewangan yang bertanggungjawab dan termaklum.

 

MoneyX juga merangkumi peti besi digital terjamin, di mana pengguna boleh menyimpan dokumen penting seperti bil, polisi insurans dan perjanjian, memastikan akses dan organisasi yang mudah.

 

Di samping itu, aplikasi tersebut memberi pilihan kepada pengguna untuk menggunakan ciri pemberitahuan yang akan mengingatkan pengguna mengenai sebarang tarikh akhir pembayaran atau pembaharuan akan datang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif HexTech, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata kerjasama dengan institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan kewangan mencerminkan keterujaan industri terhadap tawaran yang disasarkan oleh HexTech dalam ekosistem MoneyX sebagai aplikasi utama untuk semua perkara dalam kewangan peribadi.

 

“HexTech telah melakukan pelbagai usaha bagi MoneyX, yang merupakan salah satu inisiatif utama kami untuk mengejar peluang dalam sektor teknologi.

 

“Visi kami untuk MoneyX adalah untuk menjadi syarikat fintech terkemuka di Malaysia dalam masa tiga tahun sebelum ke pentas global,” kata Eddie.

 

Beliau menegaskan komitmen syarikat terbabit untuk merealisasikan visi itu dengan peruntukan RM100 juta untuk membina dan mempromosi MoneyX.

 

Sempena pelancaran aplikasi itu, Hextar Vision turut mendedahkan 14 rakan kongsi untuk mengagregatkan perkhidmatan mereka di MoneyX, iaitu Alliance Bank Malaysia, Hong Leong Bank, Standard Chartered Bank, M&A Securities, Exsim Development, Finology, GKash, Edge Property, ServeDeck Innovation, Theta Edge, Richard Wee Chambers, ShopIQ, MWM Myworld Malaysia dan CTOS Data Systems.

 

Dengan kira-kira 1 juta pengguna disasarkan untuk mengguna pakai MoneyX sebagai platform pengurusan maklumat kewangan mereka dalam satu tahun akan datang, Hextar Vision sedang mempertingkat aplikasi mudah alih dalaman, dengan penyepaduan penuh semua ciri utama menjelang akhir 2024.  - DagangNews.com