GST hanya sesuai jika ekonomi Malaysia kembali stabil - MIDF | DagangNews Skip to main content

GST hanya sesuai jika ekonomi Malaysia kembali stabil - MIDF

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Sebarang perancangan untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah munasabah sekiranya pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam keadaan stabil dan berdaya mapan, menurut MIDF Research.

 

Ini susulan cadangan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya sistem cukai itu dilaksanakan secepat mungkin selepas negara pulih daripada pandemik COVID-19.

 

Malah, beliau turut mempertahankan bahawa pelaksanaan GST dapat mengurangkan ketirisan sebanyak RM300 bilion setahun akibat aktiviti ekonomi gelap, justeru, kutipan hasil ini mampu diagihkan kepada kumpulan B40 dan M40.  

 

Bagaimanapun, MIDF Research menjangkakan kerajaan tidak akan membuat sebarang perubahan besar dalam kadar cukai di negara ini.

 

"Tetapi, lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada pendekatan lain seperti mengoptimumkan insentif cukai ke atas pelaburan sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan ketirisan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar 6%. Ia kemudiannya digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan selepas digantikan dengan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 September 2018.

 

Kadar cukai semasa bagi cukai jualan adalah 5% dan 10% manakala kadar cukai perkhidmatan ialah 6%.

 

Kementerian Kewangan sebebelum ini menegaskan betapa pentingnya untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan turut menerbitkan kenyataan pra-belanjawan serta kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal. 

 

"Kami melihat, langkah ini merupakan antara usaha berterusan Kementerian Kewangan untuk menyusun semula pengurusan fiskal.

 

"Ini termasuklah memperkukuhkan hasil kerajaan, meminimumkan ketirisan dan perbelanjaan fiskal berimpak rendah serta pengurusan hutang kerajaan yang lebih telus," jelasnya,

 

Firma itu menjangkakan defisit fiskal kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan lebih tinggi berbanding tahun lalu berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi yang disemak semula lebih rendah sekitar 3 hingga 4%.

 

Berdasarkan unjuran semasa yang dilakukannya, saiz defisit fiskal kepada KDNK dijangka meningkat kepada 6.5% tahun ini berbanding 5.4% pada 2020. 

 

"Namun, defisit fiskal ini dijangka bertambah baik mulai tahun hadapan apabila ekonomi kembali pulih. 

 

"Oleh itu, ia dijangka menyusut sekitar 3.5 hingga 3.0% kepada KDNK menjelang 2025, seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12," tambahnya.

 

MIDF Research berkata, bagi menampung kekurangan perbelanjaan kerajaan pada tahun hadapan, ia dijangka dibiayai menerusi perolehan hutang tambahan memandangkan kerajaan tidak akan membuat sebarang perubahan besar dalam sistem cukai.

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan komitmen kerajaan ke arah pengukuhan fiskal akan mencerminkan strategi dasar dalam tempoh sederhana bagi mencapai sasaran fiskal yang ditetapkan," jelas firma itu.

 

Bagaimanapun, ia mengekalkan unjuran KDNK Malaysia akan berkembang pada kadar 4.6% tahun ini. - DagangNews.com