Genting Malaysia mungkin mencari urus niaga tanah di Miami yang lebih baik – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Genting Malaysia mungkin mencari urus niaga tanah di Miami yang lebih baik – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - Penamatan perjanjian eksklusif penjualan tanah Miami Herald milik Genting Malaysia Bhd kepada Smart Miami City LLC membuka semula bidaan hartanah tersebut kepada pihak lain, kata Kenanga Research.

 

Dengan Smart Miami masih berminat untuk membeli tanah itu, firma penyelidikan itu berkata Genting Malaysia mungkin mengharapkan harga lebih baik dengan membuka semula pembidaan jualan.

 

Tambahnya, tidak jelas sama ada tawaran lain atau lebih baik telah diperoleh tetapi memandangkan ia terletak di lokasi utama, mendapatkan harga yang boleh diterima mungkin menjadi isu dan bukannya kekurangan pembeli.

 

“Bagaimanapun, kelewatan tersebut membawa risiko kerana sektor hartanah Amerika Syarikat (AS) menghadapi kos pinjaman yang lebih tinggi dan ekonomi lebih perlahan,” ujarnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada 27 April 2023, Genting Malaysia telah mengumumkan bahawa anak syarikatnya, Resorts World Miami LLC menjual empat bidang tanah di Miami kepada Smart Miami pada harga AS$1.23 bilion atau kira-kira RM5.43 bilion secara tunai.

 

Selepas itu pada 18 Mei 2023, Smart Miami sebaliknya memilih untuk memperoleh RW Miami yang memiliki tanah tersebut dan pada 15 Jun 2023, mesyuarat agung luar biasa (EGM) Genting Malaysia menyokong penjualan tersebut kepada Smart Miami.

 

Bagaimanapun, dalam makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia semalam, Smart Miami telah menamatkan bidaan yang berlangsung selepas Genting Malaysia tidak bersetuju untuk melanjutkan tempoh eksklusif dan meminda beberapa syarat komersial.

 

Susulan itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan Genting Malaysia bagi FY23-24 memandangkan penjualan tanah itu tidak diambil kira ke dalam unjuran.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) pada RM3.35 sesaham.

 

“Kami terus menyukai Genting Highlands sebagai proksi kepada pembukaan semula sempadan antarabangsa dan lantunan semula dalam industri pelancongan, terutamanya kemasukan pelancong dari China walaupun pergerakannya lebih perlahan daripada jangkaan awal,” tambahnya.

 

Pada pukul 12:00 tengahari ini, saham Genting Malaysia menokok 1 sen atau 0.4% kepada RM2.47 dengan modal pasaran bernilai RM14.7 bilion. - DagangNews.com