Gangguan perniagaan antara kebimbangan utama perniagaan di Malaysia – kajian Allianz | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gangguan perniagaan antara kebimbangan utama perniagaan di Malaysia – kajian Allianz

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Gangguan perniagaan menjadi kebimbangan utama perniagaan di Malaysia diikuti kebakaran dan letupan, serta bencana alam seperti ribut dan banjir, menurut kajian Barometer Risiko Allianz 2024.

 

Berdasarkan pandangan daripada lebih 3,000 profesional pengurusan risiko, kajian tersebut turut mendedahkan bahawa perubahan dalam perundangan dan peraturan, merangkumi tarif dan sekatan ekonomi, dan insiden siber, seperti serangan perisian tebusan, pelanggaran data dan gangguan IT, adalah kebimbangan keempat terbesar bagi syarikat di Malaysia pada 2024.

 

Ketua Pegawai Penaja Jamin Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Rafliz Ridzuan menjelaskan bahawa gangguan perniagaan berkait rapat dengan kebanyakan risiko peringkat tinggi tahun ini, seperti siber, bencana alam dan kebakaran, serta kekal sebagai kebimbangan utama dalam dunia yang cepat berubah.

 

 

allianz

 

 

“Gangguan daripada kebakaran boleh menjadi sangat tinggi, kerana ia boleh mengambil masa yang lebih lama untuk pulih daripada ancaman lain dan kesannya kepada pembekal selalunya boleh menjadi lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi sektor yang berurusan dengan bahan mudah terbakar dan mudah meletup, Rafliz berkata kemudahan yang rosak kadangkala boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina semula, dipulihkan pengeluaran dan berjalan ke kapasiti penuh.

 

“Adalah penting bahawa syarikat mempunyai pelan pengurusan risiko yang mantap dan rantaian bekalan bagi mempertingkat daya tahan dan bertahan daripada gangguan perniagaan,” tambahnya.

 

 

Rafliz Ridzuan
Rafliz Ridzuan

 

 

Menurut laporan tersebut, jurang daya tahan antara syarikat besar dan kecil semakin melebar kerana kesedaran risiko dalam kalangan organisasi besar telah berkembang sejak wabak dengan dorongan untuk meningkatkan daya tahan.

 

Sebaliknya, perniagaan kecil sering kekurangan masa dan sumber untuk mengenal pasti dan bersedia secara berkesan dalam menangani pelbagai senario risiko lebih luas dan akibatnya, mengambil masa untuk memulihkan dan menjalankan perniagaan selepas kejadian tidak dijangka.

 

Disebabkan topografi Malaysia, Allianz berkata negara ini terdedah kepada banjir pantai dan banjir kilat, yang kedua-duanya meningkat dalam kekerapan dan intensiti angkara pemanasan global sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Ia menambah bahawa laporan unjuran perubahan iklim yang dikeluarkan oleh Bank Dunia menjangkakan banjir berlaku 20% lagi dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Di samping itu, katanya, tahun lepas juga menyaksikan beberapa kebakaran di negara ini, seperti yang berlaku di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur yang menyebabkan ia ditutup selama sehari.

 

Allianz turut mengambil contoh dua kebakaran yang disebabkan oleh litar pintas elektrik di Jakel Shah Alam pada 2023 yang menyebabkan anggaran kerugian kira-kira RM100 juta (AS$22 juta). - DagangNews.com