Gagal lunas bayaran RM14.53 juta, Public Bank lelong lima hartanah Serba Dinamik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gagal lunas bayaran RM14.53 juta, Public Bank lelong lima hartanah Serba Dinamik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 24 Ogos ini sebagai tarikh lelongan lima hartanah Serba Dinamik Holdings Berhad selepas Public Bank Berhad menerima arahan untuk melakukan jualan berkenaan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lima hartanah yang dicaj kepada bank, terletak di Seksyen 11, Shah Alam.

 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam pada itu menetapkan 28 Ogos sebagai tarikh lelongan bagi tiga hartanah lain yang dicaj kepada Public Islamic Bank Berhad (PIBB), dua daripadanya terletak di Johor Bahru dan satu lagi di Klang.

 

Ia berlaku selepas anak syarikat milik penuh Serba Dinamik, Serba Dinamik Sdn. Bhd. (SDSB) gagal melunaskan pembayaran berjumlah RM14.63 juta.

 

SDSB ingkar membuat pembayaran kepada Public Bank pada 3 Februari, melibatkan kemudahan overdraf berjumlah RM528,216 pada 10 Januari.

 

Dalam kes PIBB, SDSB gagal membayar tiga kemudahan pembiayaan berjumlah RM14.10 juta setakat 10 Januari. 

 

Serba Dinamik berkata, perintah jualan yang diperoleh Public Bank berhubung lima hartanah itu dikeluarkan pada 13 Jun, manakala PIBB memperoleh perintah jualan bagi tiga hartanah lain pada 13 April.

 

"Memandangkan SDSB dalam pembubaran, penilaian perlu dibuat ke atas kesan ke atas SDSB," kata kumpulan itu. - DagangNews.com