Frontken berada di kedudukan baik manfaat pemulihan sektor E&E dan peningkatan permintaan cip AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Frontken berada di kedudukan baik manfaat pemulihan sektor E&E dan peningkatan permintaan cip AI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Frontken Corp Bhd berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pemulihan global dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) pada 2025 dan meraih permintaan mampan untuk cip kecerdasan buatan (AI).

 

Apex Securities menjangkakan prestasi lebih baik daripada kumpulan itu didorong faktor bermusim dan peningkatan produktiviti daripada Kilang 2.

 

"Selain itu, pelanggan utama dari Taiwan dijangka mula meningkatkan pengeluaran cip 2nm termaju pada suku kedua 2025 dan ia merupakan petanda baik untuk margin kumpulan berikutan proses penghasilan yang lebih rumit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perniagaan semikonduktor di Taiwan kekal kukuh didodorong peningkatan permintaan AI.

 

Bagaimanapun, mereka melihat sedikit pengurangan dalam margin operasi Taiwan, yang jatuh 2% dari suku tahun ke suku tahun, disebabkan peningkatan kos buruh yang dikaitkan dengan tenaga kerja yang lebih besar.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 2QFY24 Frontken meningkat kepada RM33.3 juta didorong sumbangan positif anak syarikat di Taiwan

 

"Perniagaan minyak dan gas (O&G) merosot 33% dari suku tahun ke suku tahun kesan jualan yang lebih rendah disebabkan kelewatan lam kelulusan berlanjawan pelanggan an gangguan separa di Kilang Kulim.

 

"Proses pemulihan di Kilang Kulim sedang berjalan dan dijangka kembali kepada kapsiti operasi penuh menjelang pertengahan September 2024," katanya.

 

Apex Securities menyemak turun ramalan pendapatan kumpulan sebanyak 13% elepas mengambil kira margin yang lebih rendah dalam segmen O&G serta anak syarikat di Taiwan.

 

Mereka juga meramalkan untung bersih teras FY26 sebanyak RM206.2 juta dengan pertumbuhan satu digit rendah apabila penggunaan kapasiti menghampiri kemuncak. berikutan pertumbuhan lebih kukuh dijangka pada FY25.

 

Firma itu menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'pegang' dengan harga sasaran RM4.33 sesaham. - DagangNews.com