Forest Interactive Foundation lancar program Bayu Hackathon untuk jana idea, penyelesaian inovatif di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Forest Interactive Foundation lancar program Bayu Hackathon untuk jana idea, penyelesaian inovatif di Sabah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KOTA KINABALU 8 Julai - Forest Interactive Foundation melancarkan Bayu Hackathon, sebuah program pembangunan negara yang menfokuskan kepada pengayaan pendidikan dalam bidang teknologi, untuk memperkasakan inovator masa depan yang berkebolehan untuk menjana idea dan penyelesaian inovatif untuk Sabah.

 

Disokong oleh Jawala Plantation Industries dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, program tiga hari itu akan berlangsung dari 29 Julai hingga 31 Julai 2022 di Le Meridien, Kota Kinabalu.

 

Dengan tagline Kod, Belajar dah Jumpa, Bayu Hackathon kini dibuka untuk pendaftaran kepada warganegara Malaysia berumur antara 20-30 tahun, merupakan pelajar universiti, graduan baru atau sedang mencari peluang pekerjaan.

 

Selain itu, peserta yang pernah menerima pendidikan formal atau tidak formal dalam kemahiran berkaitan teknologi, mempunyai minat dalam reka bentuk, atau mempunyai ilmu asas dan pengalaman berkaitan perniagaan digalakkan untuk memohon.

 

Bertujuan untuk memupuk pemikir kehadapan Sabah melalui cabaran hackathon yang intensif, program ini juga menawarkan bengkel seperti Career Prep 101, sesi pitching dan pameran kerjaya yang dibuka kepada khalayak ramai.

 

Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Forest Interactive Foundation, Johary Mustapha berkata, program hackathon itu bermatlamat untuk mendorong pertumbuhan digital yang pelbagai dan inklusif dengan melengkapkan peserta dengan kemahiran digital yang disasarkan, memperluaskan peluang pekerjaan, dan menyelesaikan masalah kekurangan kemahiran digital di Malaysia. 

 

"Oleh itu, kami bersama-sama dengan Jawala Plantation Industries dan KSTI Sabah menyediakan platform pendidikan yang selaras dengan tuntutan industri dan memastikan belia kami dapat berkembang sejajar dengan kemajuan teknologi.

 

 

forest

 

 

"Untuk lebih mendorong budaya pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan ekonomi digital Malaysia, kami mengalu-alukan kerjasama dengan institusi akademik, pemaju, usahawan, kerajaan, dan pelabur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan pula berkata, selaku rakan kolaborasi kepada Forest Interactive Foundation dan Jawala, KSTI menyokong penuh pelaksanaan program seumpama itu kerana mampu memberi ruang kepada para belia khususnya di Sabah untuk menunjukkan dan menonjolkan kebolehan mereka dalam bidang 'coding'.

 

 

bayu

 

 

"Melalui aktiviti coding atau Hackathon ini, diharap para belia juga akan lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah. KSTI juga menyeru kepada semua belia yang memenuhi syarat untuk  tidak  melepaskan  peluang  dan  menyertai  program  ini  kerana  pelbagai  aktiviti  yang  menarik akan dijalankan seperti pameran kerjaya, bengkel kerjaya dan sesi pitching," katanya.

 

 

bayu

 

 

Melalui program hackathon ini, para peserta juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 untuk kategori Projek Terbaik, RM2,000 (Pitch Perniagaan Terbaik) dan RM1,000 (Anugerah Juri).

 

Peserta yang berminat boleh menghantar permohonan mereka di https://www.forestcares.org/sekodlah-bayu hackathon/en/registration#whats-in-it atau layari laman web rasmi Forest Interactive Foundation di forestcares.org. - DagangNews.com