foodpanda, NGO bekerjasama tangani isu pembaziran dan lebihan makanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

foodpanda, NGO bekerjasama tangani isu pembaziran dan lebihan makanan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - pandamart, kedai runcit foodpanda menjalin kerjasama dengan Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen memerangi pembaziran dan menyokong masyarakat terpinggir melalui inisiatif sumbangan lebihan makanan. 

 

Dalam kerjasama dengan kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sejak Februari tahun ini, pandamart komited untuk menangani isu lebihan dan pembaziran makanan, dengan menderma sejumlah 6,676 kilogram (kg) makanan, bersamaan dengan 16,486 hidangan. 

 

Hasil segar seperti sayur-sayuran, yang akan dibuang selepas jangka hayatnya, adalah fokus utama inisiatif ini. Ia selaras dengan objektif Hari Makanan Sedunia pada setiap 16 Oktober untuk menggalakkan kesedaran global tentang kelaparan dan keselamatan makanan.

 

Ketua bahagian pandamart, Shintaro Matsuno berkata, pihaknya cuba sedaya upaya untuk mengurangkan pembaziran dengan mengoptimumkan pesanan mereka daripada pembekal lebih awal, menjejaki data stok dengan teliti dan meramalkan trend permintaan. 

 

"Bagaimanapun, beberapa lebihan masih tidak dapat dielakkan, terutamanya dengan perlu memenuhi jangkaan pelanggan kami untuk produk segar dihantar ke depan pintu mereka. 

 

"Oleh itu, kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen dalam kerjasama jangka panjang untuk mengagihkan semula lebihan makanan kami yang masih dalam keadaan baik kepada mereka yang paling memerlukannya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Shintaro, setiap pagi kedai pandamart menilai kualiti hasil segar dan mengeluarkan barangan yang hampir jangka hayatnya. 

 

 

foodpanda

 

 

"Mereka kemudiannya akan memberitahu pasukan di Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen tentang barangan tersebut. 

 

"Kedua-dua pasukan, dengan kerjasama sukarelawan, mengumpul lebihan barangan ini dan memastikan ia diagihkan terus ke rumah kebajikan dan komuniti B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya.

 

Setakat ini, pandamart telah menyumbangkan lebih daripada 6,000 kg hasil segar, barangan kering dan peralatan mandian kepada Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen. 

 

Di samping itu, proses pengagihan semula lebihan makanan diperkemas dengan penyertaan cawangan pandamart lain seperti di Mont Kiara, Subang, Setapak, KLCC, dan Cheras.

 

Sempena Hari Makanan Sedunia, foodpanda mengumumkan bahawa ia juga akan memperluaskan kempen derma lebihan makanan ke cawangan pandamart lain untuk memberi impak positif kepada lebih ramai komuniti. - DagangNews.com