KUALA LUMPUR 19 Mac - Firma tenaga boleh diperbaharui (RE) Belanda, Maatschappij Wilhelmina NV (Wilhelmina) melabur sebanyak RM283 juta (AS$60 juta) untuk membina dan mengurus loji pelet hitam TG2 Wilhelmina di Kuantan, Pahang.
Loji pelet hitam TG2 pertama seumpamanya di dunia itu adalah hasil kerjasama Wilhelmina dengan Ecoscience International Bhd.
Pelet hitam TG2 merupakan pengganti sumber semula jadi kepada arang batu.
Di bawah perjanjian kerjasama itu, Wilhelmina akan membiayai, memiliki dan mengendalikan loji pelet hitam TG2.
Ecoscience sebagai kontraktor akan menjalankan kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk loji itu.
Loji itu terletak di Fasa 3 Kawasan Perindustrian Gebeng dan pembinaannya dijangka bermula pada suku keempat.
Kapasiti loji adalah kira-kira 120,000 pelet hitam setahun.
Kilang itu menukar sisa pertanian seperti tandan buah kosong (EFB) kepada pelet hitam TG2 yang merupakan bahan api pengganti arang batu.
Pengarah Urusan Ecoscience, Wong Choi Ong berkata, selain mengambil peranan EPC, pihaknya dijangka turut mengendalikan, menyenggara dan mengurus loji untuk Wilhelmina selepas pentauliahan.
"Secara keseluruhannya, kilang itu dijangka memberi rangsangan yang ketara kepada buku pesanan kami, serta memberikan pendapatan berulang yang konsisten kepada kumpulan kami pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Wilhelmina, Barthold van Doorn berkata, pelaburan di Malaysia hanyalah langkah pertama dalam pelan pengembangan strategik keseluruhan kumpulan itu.
"Kami telah memperuntukkan beberapa lokasi di Malaysia dan di Asia Tenggara untuk mewujudkan lebih banyak loji pelet hitam TG2 yang juga akan menggunakan sisa pertanian lain, seperti sabut kelapa dan kayu pokok getah sebagai bahan mentah," katanya.
Van Doorn melihat peluang besar dalam menjana RE dan neutral karbon melalui kitar semula sisa pertanian.
“Malah, pelet hitam TG2 ini, yang akan menggunakan EFB sebagai bahan mentah, akan menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.
"Sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, kami memahami Malaysia menjana kira-kira 20 juta tan sisa EFB setahun," jelasnya.
Kata Van Doorn, daripada dibiarkan mereput atau mengisi tapak pelupusan, ini boleh diubah menjadi pengganti arang batu yang bersih dan bertenaga tinggi yang boleh mengurangkan sebanyak 12 juta tan metana, bersamaan dengan 300 juta tan karbon dioksida.
"Ini sudah tentu boleh menyumbang kepada sasaran kerajaan Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050,” tambahnya.- DagangNews.com








