KUALA LUMPUR 22 Mac - Encorp Bhd. memeterai perjanjian usaha sama dengan Felda untuk menyiapkan pembangunan projek Perumahan Warga Felda di Padan Siding, Perlis yang dianggarkan menelan kos berjumlah RM57.32 juta.
Projek tersebut yang terdiri daripada 2 fasa merangkumi pembinaan rumah kos rendah, kos sederhana, rumah berkembar dan rumah kedai, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi fasa pertama ia membabitkan kawasan seluas 25 ekar dengan pembinaan 241 unit secara menyeluruh manakala fasa kedua pula berkeluasan 21 ekar yang menempatkan 283 unit.
Encorp berkata, sebahagian daripada fasa pertama telah dibangunkan oleh Felda.
"Pembangunan dan pembinaan sedemikian telah ditangguhkan dan Felda kini berhasrat untuk memulihkan dan menyelesaikan pembangunan fasa pertama projek ini," katanya.
Di bawah terma perjanjian, keuntungan daripada fasa pertama akan dibahagikan dengan nisbah 80% Felda dan 20% Encorp, manakala fasa kedua pula pada nisbah 75:25 dengan Felda mengambil bahagian yang lebih besar.
Encorp juga akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk pembayaran semua kos pembangunan projek itu, yang berjumlah RM57.32 juta.
Menurutnya, usaha sama tersebut menyediakan kerjasama strategik dan sejajar dengan strategi perniagaan Encorp untuk mengembangkan segmen pembinaan.
"Pada masa sama, Felda dapat menyiapkan dan menyelesaikan skim rumah mampu milik untuk menggalakkan aktiviti sosial dan ekonomi di kawasan tersebut," jelasnya.
Kumpulan turut menjangkakan terdapat kemungkinan projek tersebut tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan disebabkan impak pandemik COVID-19, keadaan ekonomi yang lemah dan persekitaran pasaran. - DagangNews.com








