KUALA LUMPUR 26 Okt - Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya mencapai sebanyak RM10 bilion pelaburan komited setakat September 2023, yang mana dalam tempoh sama, pelaburan bernilai RM2.6 bilion berjaya direalisasikan.
Pelaburan itu merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan, pelancongan, perkhidmatan, pertanian serta minyak, gas & petrokimia (OGP) yang berpotensi mewujudkan lebih 4,500 pekerjaan baharu dan lebih 600 peluang perniagaan di ECER, sekali gus menjanjikan prospek ekonomi yang lebih cerah bagi rantau ini.
Berlandaskan rangka kerja ekonomi MADANI, komitmen dan usaha ECERDC untuk mengetengahkan ECER sebagai destinasi pelaburan pilihan melibatkan pelaksanaan infrastruktur strategik dan program pembangunan bakat yang dipacu oleh industri.
Dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan rakan kongsi strategik lain, ECERDC memainkan peranan holistik dalam memudahcara pelaburan baharu ke ECER dan memastikan pelaburan dapat direalisasikan.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, ECERDC mempunyai kelebihan lokaliti dan hubungan kukuh dengan kerajaan negeri ECER dan pemain industri tempatan untuk menarik pelaburan dan memudahcara urusan para pelabur secara menyeluruh.
"Pelaburan swasta akan menjana peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan selaras dengan semangat Malaysia MADANI dalam mempertingkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECER di Putrajaya semalam.

Ketika mesyuarat tersebut, anggota majlis turut dimaklumkan mengenai projek dan program yang sedang dilaksanakan ECERDC di ECER.
Antaranya termasuk usaha untuk menangani isu keselamatan makanan negara yang mana ECERDC membentangkan inisiatif agrofood@ECER terutamanya projek Lembah Tenusu ECER bagi meningkatkan tahap sara diri pengeluaran susu segar negara.
Menurut Baidzawi, sejak penubuhan ECERDC, pelaburan swasta berjaya mengurangkan migrasi keluar dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ECER serta memberikan rangsangan sosio-ekonomi kepada wilayah yang masih ketinggalan.

"Kerjasama berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat perlu bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi rantau ini untuk memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Kejayaan ECERDC dalam menarik pelaburan swasta adalah hasil pelaksanaan projek infrastruktur strategik oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan ketersambungan dan rangkaian pengangkutan, sekali gus meningkatkan daya saing rantau ini sebagai sebuah destinasi pelaburan. - DagangNews.com








