E-Invois: Adakah Malaysia ketinggalan? | DagangNews Skip to main content

E-Invois: Adakah Malaysia ketinggalan?

Beralihlah kepada pelaksanaan e-invois bagi semua perniagaan di seluruh negara - Datin Yap Shin Siang, Ketua Pegawai Eksekutif YYC

DALAM era dipenuhi dengan kemajuan teknologi, operasi perniagaan kian berubah di mana perniagaan sentiasa memanfaatkan kelebihan Teknologi Maklumat (IT) untuk maju ke hadapan.

 

Satu daripada aspek transformasi tersebut ialah sistem penginvoisan elektronik (e-invois), yang merupakan anjakan yang berperanan untuk meningkatkan kecekapan, pematuhan cukai dan mengurangkan kesilapan dalam perniagaan.

 

Meskipun era digital menawarkan pelbagai peluang untuk memajukan perniagaan, namun dalam kalangan perusahaan-perusahaan tempatan, golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) masih ketinggalan dalam penggunaan teknologi dan perisian dalam perniagaan mereka.

 

Maka, persoalan yang timbul – Mengapakah perusahaan tempatan menghadapi kesukaran untuk mematuhi mandat kerajaan?

 

Keengganan untuk menyesuaikan diri ini terbukti pada Jun 2022 apabila terdapatnya laporan yang menyatakan bahawa lebih daripada 31,000 entiti yang terdiri daripada individu, perniagaan, syarikat, dan pelbagai entiti lain yang gagal mengisytiharkan pendapatan mereka.

 

Kesannya ternyata besar apabila ia telah mengakibatkan kerugian kutipan cukai yang dianggarkan berjumlah RM665 juta.

 

Perkara yang merumitkan keadaan adalah perubahan yang sering berlaku dalam ketetapan ataupun peraturan-peraturan kerajaan yang memberikan cabaran kepada perusahaan-perusahaan tempatan untuk menyesuaikan diri dalam masa yang singkat dengan perubahan yang berlaku secara mendadak.

 

Dalam persekitaran landskap yang sentiasa berubah daripada pengenalan rangka kerja cukai kepada pindaan peraturan-peraturan, perusahaan-perusahaan pada masa kini memerlukan daya kebolehsuaian yang tinggi untuk bergerak sejajar dengan peraturan-peraturan ataupun polisi untuk kekal berdaya saing.

 

Dengan penerimaan evolusi digital oleh negara-negara jiran di rantau Asia, tumpuan kini beralih kepada Malaysia untuk mengambil langkah-langkah yang penting untuk bergerak seiring dengan landskap ekonomi global.

 

Landskap E-Invois antara Dunia dengan Malaysia

Negara-negara di rantau Asia, termasuk Jepun, Vietnam, Korea Selatan, dan Filipina, telah menggunapakai e-invois sejak tahun 2021 berikutan trend global.

 

Singapura pula telah mengamalkan penggunaan e-invois sejak 2019, di mana Infocomm Media Development Authority (IMDA), sebagai satu daripada Lembaga Berkanun Singapura menerajui amalan e-Invois, menjadikan IMDA sebagai Pihak Berkuasa Peppol yang pertama di luar Eropah pada Mei 2018 .

 

Dengan Singapura sebagai perintis bagi e-Invois,  timbulnya persoalan: adakah Malaysia masih ketinggalan di belakang?

 

Dari segi undang-undang, E-Invois di Malaysia telah dibenarkan dan diguna pakai bagi cukai tidak langsung sejak 2015, sejajar dengan pelaksanaan undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

 

Namun demikian, banyak perusahaan masih cenderung menggunakan cara tradisional dalam mengeluarkan invois.

 

Proses penginvoisan tradisional yang berasaskan kertas dan dokumentasi manual ini telah menjadi satu kebiasaan. Walau bagaimanapun, pendekatan konvensional ini menimbulkan beberapa isu dan kelemahan, termasuk kelewatan, kesilapan, dan peningkatan kos operasi.

 

Demi memanfaatkan kecekapan yang ditawarkan oleh penggunaan e-invois, Malaysia telah mengambil langkah pada Mac 2023 untuk mewajibkan penggunaan sistem e-invois secara berperingkat bermula pada 1 Ogos 2024, untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, mengurangkan kos pematuhan, dan meningkatkan kecekapan perniagaan secara keseluruhan.

 

Pengenalan E-Invois dengan matlamat khusus untuk membantu kerajaan mencapai sasaran kutipan cukai  sebanyak RM185 bilion pada tahun 2024, E-Invois telah diwajibkan bagi pembayar cukai dengan pendapatan tahunan atau jualan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024.

 

Untuk memastikan peralihan yang sistematik, pelaksanaan E-Invois bagi pendapatan tahunan atau jualan lain akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan pelaksanaan sepenuhnya pada 1 Julai 2025.

 

Menurut Datuk Seri Ahmad Maslan, ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan I, pelaksanaan E-Invois bertujuan untuk menangani ketirisan hasil dan mengurangkan saiz ekonomi bayangan.

 

Penggunaan E-Invois berfungsi sebagai mekanisme untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai negara dan dengan secara langsungnya meningkatkan pematuhan cukai.

 

Antara tahun 2000 dan 2019, ekonomi bayangan telah mencatatkan pengecilan daripada 30.2% kepada 21.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Pelaksanaan GST dari tahun 2015 hingga 2018 turut memainkan peranan dalam pengurangan saiz ekonomi bayangan. Turut dilaporkan juga bahawa pelaksanaan E-Invois diunjurkan  akan meningkatkan sumbangan hasil cukai kepada 14% ke 15% daripada KDNK [4].

 

Pembongkaran Mitos E-Invois

Banyak organisasi tempatan, mahupun bersaiz besar ataupun kecil, mungkin masih belum menyesuaikan diri sepenuhnya dengan sistem yang baharu ini walaupun dengannya ada pengenalan teknik yang lebih mudah dan mampu milik.

 

Rasional di sebaliknya adalah tanggapan salah yang meluas terhadap E-Invois yang perlu ditangani segera.

 

Penghantaran invois dalam format PDF tidak bersamaan dengan E-Invois. E-Invois melibatkan penggunaan data berstruktur yang boleh ditukar antara pembeli dan pembekal.

 

Satu daripada mitos yang sering kita dengar adalah E-Invois tidak boleh dipercayai. Namun demikian, penggunaan E-Invois ini bukan sahaja mesra alam di mana ia menghapuskan penggunaan kertas, ia juga mengurangkan kesilapan manusia.

 

E-Invois merupakan proses lancar yang tidak memerlukan kemasukan data secara manual, justeru itu, ia akan mempercepatkan kitaran pembayaran.

 

Langkah ke arah penggunaan sistem E-Invois menyediakan pelbagai peluang yang menarik kepada usahawan-usahawan tempatan, terutamanya PKS.

 

Berikut adalah beberapa manfaat yang boleh dinikmati dengan penggunaan E-Invois:

 

  1. Anda akan berada dalam kawalan perniagaan anda! E-Invois bukan sahaja mewujudkan tahap kawalan yang lebih tinggi, anda juga boleh mendapat gambaran keseluruhan perniagaan anda. Dengan menggunakan perisian yang tepat, semua maklumat akan disimpankan dalam satu platform yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

 

  1. Penjimatan yang lebih banyak dan meningkatkan pendapatan dengan lebih cepat. Tidak lain tidak bukan, penghapusan penggunaan kertas dapat mengurangkan perbelanjaan perniagaan anda.

Berdasarkan laporan daripada Billentis, perniagaan dapat menjimatkan sehingga 80% kos pemprosesan apabila penggunaan kertas dihapuskan. Sebaik sahaja peralihan kepada sistem automasi, proses aliran kerja kewangan dapat dipercepatkan dan secara tidak langsungnya akan dapat memperbaiki aliran tunai perniagaan dan mengurangkan risiko kelewatan pembayaran daripada penghutang. 

 

  1. Selamat dan terkawal. Selain daripada mudah terdedah kepada kesilapan, penginvoisan secara tradisional juga mempunyai risiko kebocoran data.

    Dengan E-Invois, perniagaan boleh mendapat manfaat daripada peningkatan dalam ketepatan data dan langkah keselamatan yang lebih ketat dengan menggunaan pembekal yang boleh dipercayai  dan mematuhi peraturan tempatan untuk memastikan data anda dilindungi daripada akses tanpa kebenaran.

 

 

Walaupun demikian, cabaran tetap berterusan terutamanya bagi perniagaan yang kekurangan sumber untuk melaksankan amalan E-Invois.

 

Masalah ini banyak dihadapi oleh PKS yang bukan sahaja mempunyai sumber terhad, jurang pengetahuan, kekurangan tenaga kerja, dan kekangan masa yang merupakan faktor-faktor kesukaran menyesuaikan diri dalan amalan E-Invois baharu ini.

 

Malah, organisasi yang bersaiz besar juga menghadapi cabaran untuk menjalankan amlan E-Invois ini, apatah lagi PKS yang mengalami kekangan sumber?

 

Dengan TaxPOD, platform pembelajaran cukai dalam talian yang pertama di Malaysia, anda dalam perniagaan anda boleh mendapatakan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mengemudi dalam kerumitan landskap cukai perniagaan. Dengan adanya TaxPOD, anda tidak perlu bergantung kepada pihak lain untuk memenuhi keperluan cukai perniagaan anda.

 

“Melambatkan proses penerimaan atau mengabaikan peralihan kepada pengenalan amalan E-Invois baharu ini dengan tanggapan bahawa pihak berkuasa akan terlepas pandang atau tidak akan mengenakan penalty adalah satu kesilapan yang amat besar dan akan memberikan kesan yang amat mendalam kepada perniagaan anda.

 

“Tidak kira saiz perniagaan, penerimaan amalan E-Invois bukan sahaja sekadar kehendak pematuhan undang-undang, ia juga merupakan langkah strategik untuk kemampanan jangka panjang.

 

‘Agihkan sumber, ,melaburkan dalam program latihan, dan dapatkan bimbingan untuk merapatkan jurang pengetahuan,” kata Datin Yap Shin Siang, Ketua Pegawai Eksekutif YYC.

 

“Bekerjasamalah dengan penyedia perkhidmatan E-Invois untuk menyelaraskan proses pelaksanaan. Jangan tunggu sehingga saat terakhir untuk menerima pakai sistem baharu ini kerana ia hanya akan mewujudkan lebih banyak cabaran dan mengurangkan daya saing anda dalam landskap perniagaan yang semakin berkembang.”

 

Bermulalah sekarang sebelum terlambat!

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mempunyai kuasa untuk mengenakan denda antara RM200 sehingga RM20,000, atau penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali, jika tidak mematuhi peraturan e-invois.

 

Kesalahan-kesalahan termasuk kegagalan untuk mengeluarkan e-invois, e-invois pengebilan diri sendiri ataupun e-invois yang disatukan.

 

Pembayar cukai yang tidak patuh mungkin mengambil mudah tentang isu ini tetapi akibatnya adalah nyata dan dahsyat.

 

Merujuk kepada satu kes tahun lepas, seorang ahli perniagaan di Batu Pahat didakwa di Mahkamah Majistret akibat mengelak cukai berjumlah lebih RM545,000. Satu lagi insiden berlaku di Johor, di mana sebuah syarikat kitar semula telah gagal memfailkan penyata cukai mereka lalu dikenakan penalti lebih RM2 juta dengan denda RM18,000 di Mahkamah Majistret.

 

Dengan pendirian yang kukuh diambil oleh Malaysia ke arah penggunaan E-Invois, usahawan-usahawan tempatan, termasuk PKS, wajib mengutamakan evolusi teknologi ini.

 

Peralihan ini menjanjikan peningkatan kecekapan dan keberkesanan operasi mampu menyumbang kepada ketelusan ekonomi dan pertumbuhan fiskal negara.

 

Perniagaan perlu melihat pematuhan bukan sahaja sebagai kepatuhan kepada undang-undang malahan sebagai keperluan strategik untuk kemampanan jangka panjang dan untuk mengelak daripada risiko penalti yang berat dan impikasi akibat daripada pelanggaran undang-undang.- DagangNews.com