Dolar AS mengukuh, ringgit dibuka rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dolar AS mengukuh, ringgit dibuka rendah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Ringgit memulakan dagangan pagi ini dibuka lebih rendah pada RM4.0450/0550 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

HLIB Research mengekalkan pandangan neutral ke atas ringgit sepanjang minggu ini dengan mata wang itu dijangka berlegar pada julat RM4.03 hingga RM4.06 berbanding dolar AS. 

 

Katanya, dolar AS akan terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi kedudukan ringgit. 

 

"Minggu lalu, dolar AS mengukuh kepada 90.90 berikutan kebimbangan terhadap langkah pemulihan yang diperbaharui Rizab Persekuutuan AS. 

 

"Bagaimanapun, pengesahan penarafan Moody's yang mengekalkan A3 dengan prospek stabil terhadap Malaysia dalam masa sama, dapat membantu menyokong ringgit dan mengurangkan risiko lain," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada Jumaat, ringgit ditutup lebih kukuh pada RM4.0400/0450 berbanding dolar AS apabila pengesahan penarafan penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3 dengan prospek stabil oleh Moody's membantu meningkatkan minat risiko terhadap mata wang tempatan itu.

 

Sementara itu, MIDF Research dalam aliran kewangan mingguan menunjukkan ringgit mengukuh minggu lalu didorong harga minyak yang tinggi. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, ringgit mengukuh 0.1% berbanding dolar AS dan mengakhiri minggu itu dengan RM4.04 berbanding RM4.037 pada minggu sebelumnya. 

 

"Pengukuhan ringgit ini menjejaki pergerakan harga minyak yang semakin meningkat. Brent pada minggu lalu naik 0.8% kepada AS$55.88 setong berbanding AS$55.41 setong minggu sebelumnya," katanya. - DagangNews.com