DKSH Malaysia peroleh pensijilan FSR TAPA pusat pengedaran barangan pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DKSH Malaysia peroleh pensijilan FSR TAPA pusat pengedaran barangan pengguna

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Penyedia perkhidmatan pengembangan pasaran, DKSH Malaysia, diberikan pensijilan tahap 'C' keperluan keselamatan kemudahan (FSR) untuk pusat pengedaran CGL 3 di Seksyen U10, Shah Alam, Selangor oleh Transported Asset Protection Association (TAPA).

 

DKSH berkata, Pusat Pengedaran Shah Alam (SADC) DKSH Malaysia menyasarkan untuk memperoleh pensijilan kelas A FSR TAPA pada 2019. 

 

"Tidak lama selepas itu, pusat pengedaran Logistik Barangan Pengguna (CGL 1) di Klang mencapai pensijilan kelas C FSR TAPA pada tahun sama. 

 

"Kedua-dua SADC dan CGL 1 secara konsisten mengekalkan piawaian tinggi ini sejak itu. Menerima pensijilan ini menggariskan komitmen DKSH untuk menegakkan standard keselamatan tertinggi dalam operasi logistik dan rantaian bekalan kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, pensijilan TAPA diiktiraf secara global sebagai salah satu pensijilan yang paling ketat dan autonomi untuk keselamatan logistik serta rantaian bekalan. 

 

Katanya, beroperasi sebagai organisasi bukan untung, TAPA menghimpunkan pengilang, penyedia logistik, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pelbagai pihak berkepentingan dengan matlamat bersama untuk mengurangkan kehilangan kargo dalam rantaian bekalan dengan mewujudkan dan melaksanakan piawaian keselamatan global. 

 

"Mendapat pensijilan TAPA melibatkan penelitian menyeluruh oleh juruaudit bebas yang dilatih dan diakreditasi oleh TAPA. Proses audit mengkaji secara meluas cara barangan diuruskan dengan selamat di seluruh kemudahan dalam rantaian bekalan," katanya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Rantaian Bekalan DKSH Malaysia dan Thailand, Neil McCann berkata, pihaknya berbangga dalam menegakkan piawaian yang diperakui TAPA untuk Pusat Pengedaran Shah Alam, pusat pengedaran CGL 1 dan CGL 3. 

 

"Pencapaian ini menjadi bukti komitmen yang tidak berbelah bahagi dan kerja keras pasukan keselamatan. Ia juga mengesahkan dedikasi kami untuk mengekalkan piawaian keselamatan ketat, mengesahkan kecekapan kami dalam menyampaikan rumusan rantaian bekalan yang cemerlang," katanya. - DagangNews.com