KUALA LUMPUR 19 Mac - Pengenalan perundangan Hak Mendapatkan Maklumat (RTI) adalah langkah penting dalam memastikan akauntabiliti dan penelitian yang lebih baik terhadap kerajaan, menurut Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).
CIJ berkata, kerahsiaan kerajaan selama beberapa dekad telah menyebabkan rasuah berleluasa, salah guna kuasa dan salah urus kewangan, yang mesti ditangani melalui ketelusan yang lebih tinggi.
Katanya, orang ramai tidak lagi boleh ditangani secara paternalistik, terlindung daripada melihat kerja dalaman kerajaan di bawah samaran "keselamatan dan kepentingan negara".
Susulan lawatan ke Australia baru-baru ini bersama Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center), mereka menekankan terdapat beberapa prinsip tidak boleh dirunding yang mesti dimasukkan ke dalam rangka kerja RTI, tanpa rejim yang progresif dan berdaya maju tidak boleh wujud.
"Semua maklumat kerajaan mesti dibuka dan tidak boleh dikenakan ke atas pemohon untuk memberikan alasan membuat permohonan pendedahan, selain mesti ada badan penyelia bebas untuk menjamin secara adil, dipercayai dan proses rayuan yang boleh diakses dengan perlindungan mencukupi untuk autonomi dan keupayaannya berfungsi tanpa gangguan.
"Selain itu, alasan pengecualian yang jelas dan terhad untuk tidak mendedahkan maklumat mestilah ditetapkan di bawah akta, berdasarkan piawaian keperluan antarabangsa dan perkadaran serta tertakluk kepada ujian kepentingan awam yang menyeluruh.
"Undang-undang lain yang boleh menjejaskan realisasi rangka kerja RTI holistik mestilah dipinda/diselaraskan, seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, polisi selanjutnya mesti dirangka dan dilaksanakan untuk menggalakkan peralihan budaya dalam sektor awam ke arah ketelusan dan akauntabiliti, seperti sistem cekap, penerbitan proaktif dan penggunaan maklumat yang berkesan serta teknologi komunikasi.
Terdahulu, lawatan tersebut bertujuan menyokong usaha kerajaan untuk menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI)/Akta RTI menjelang akhir 2024, yang disertai oleh Pengarah CIJ, Wathshlah Naidu dan Pegawai Penyelidik Dasar dan Undang-Undang, Prishanth Linggaraj.
Katanya, lawatan tersebut sebagai peluang kepada wakil Malaysia untuk mempelajari tentang pertimbangan utama yang perlu diambil kira dalam penciptaan dan pelaksanaan rangka kerja RTI yang mantap dan holistik, berdasarkan pengalaman Kerajaan Australia, baik di peringkat persekutuan dan negeri.
CIJ dan C4 Centre menyertai delegasi yang diketuai oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
Turut menyertai delegasi, wakil Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Digital Negara (JDN), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Parlimen Malaysia serta wakil Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia. - DagangNews.com








