KUALA LUMPUR 17 Nov - Datametrics Research & Information Centre (DARE) menggesa dialog awam mengenai kesan ekonomi dan alam sekitar terhadap pengeluaran minyak sawit di Malaysia, bagi mencabar kesimpulan sewenang-wenangnya yang dibuat terhadap industri, terutamanya daripada media Barat yang membawa propaganda pelobi anti-minyak sawit.
Gesaan itu dibuat berikutan label 'Tiada Minyak Sawit' yang muncul di seluruh pasar raya tempatan walaupun terdapat larangan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).
Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, walaupun terdapat peruntukkan jelas akta mengenai pelanggaran yang boleh membawa kepada denda RM250,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya, label produk itu terus muncul di rak pasar raya.
Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa maklumat salah mengenai minyak sawit membawa akibat yang serius kepada pekebun kecil Malaysia dan pasaran antarabangsa.
Katanya, menghangatkan lagi isu itu adalah label mengelirukan, yang bukan sahaja melanggar undang-undang tempatan tetapi juga menjejaskan talian hayat ekonomi yang penting kepada berjuta-juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam industri minyak sawit.
"Minyak sawit adalah asas kepada ekonomi Malaysia, menyumbang hampir RM138 bilion kepada nilai eksport kita pada tahun lepas sahaja.
"Adalah penting untuk mengiktiraf bukan sahaja ekonomi tetapi juga kemajuan mampan yang dicapai oleh industri, walaupun label 'Tiada Minyak Sawit' mengelirukan yang bercanggah dengan Akta Perihal Dagangan negara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Pankaj, minyak sawit menduduki hanya 0.5% daripada tanah pertanian global yang digunakan untuk penanaman minyak sayuran, tetapi menyumbang lebih 54% daripada eksport minyak dan lemak yang boleh dimakan global.
Tambahan pula, DARE juga menekankan kemajuan Malaysia dalam amalan mampan, seperti yang dibuktikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang memastikan kebolehkesanan rantaian bekalan penuh dan pematuhan kepada piawaian pengauditan ketat.
Beliau berkata, DARE menggesa pihak berkepentingan dan pengguna untuk mengiktiraf peranan skim pensijilan tempatan seperti MSPO dalam menyokong usaha wajar dan mitigasi risiko dalam rantaian bekalan minyak sawit.
Katanya, organisasi itu menyokong naratif yang mencerminkan piawaian kemampanan yang tinggi dan usaha pemerkasaan komuniti dalam industri.
"Salah tanggapan mengenai minyak sawit bukan sahaja mengancam ekonomi Malaysia tetapi juga menjejaskan usaha global dalam mempromosikan amalan pertanian yang beretika dan mesra alam.
"Sudah tiba masanya untuk perbincangan kolaboratif dan bermaklumat yang mengiktiraf kemajuan sebenar yang dicapai dalam industri minyak sawit," katanya.
Menurut pusat penyelidikan itu, masa depan minyak sawit akhirnya bergantung kepada pembuat keputusan yang bermaklumat dan dialog saksama menegakkan keadilan, kemampanan dan kemakmuran untuk semua yang terlibat. - DagangNews.com








