Cukai keuntungan resahkan pelabur, pasaran dijangka bergelora menjelang Belanjawan 2022 | DagangNews Skip to main content

Cukai keuntungan resahkan pelabur, pasaran dijangka bergelora menjelang Belanjawan 2022

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Pasaran tempatan dijangka terus bergelora sepanjang bulan ini sebelum kembali mengukuh pada hujung tahun ini disuntik keyakinan terhadap usaha pemulihan ekonomi.

 

Keadaan ini disebabkan para pelabur menanti pembentangan Belanjawan 2022 terutama kebimbangan mereka mengenai pelaksanaan cadangan cukai keuntungan luar biasa. 

 

Cadangan tersebut dibangkitkan di Parlimen, bulan lalu, namun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam menyatakan kerajaan tidak bercadang melaksanakan cukai itu ke atas pengeluar sarung tangan getah atau perniagaan lain yang keuntungannya berlipat kali ganda semasa krisis kesihatan global.


 

Bahkan beliau menyifatkan cukai sedemikian memerlukan levi keuntungan yang melebihi ambang tertentu dan sukar bagi kerajaan untuk menentukan harga pasaran yang seragam bagi barangan pengguna atau produk keluaran tempatan berikutan kepelbagaian jenis, standard spesifikasi dan gred.

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Jeremy Goh berkata, cukai yang dilihat 'tidak mesra pasaran' itu akan memberi impak negatif antaranya, hilang keyakinan pelabur dan daya saing yang mana kesannya jauh lebih tinggi berbanding meningkatkan pendapatan kerajaan.

 

"Tetapi, kami berbesar hati apabila Tengku Zafrul berulang kali dilihat mengulangi pendiriannya yang menentang pelaksanaan cukai sedemikian. 

 

"Pada masa sama, kami juga mendapati tidak ada negara dalam kalangan ASEAN-5 melaksanakan cukai berkenaan ke atas saham bagi pelabur runcit, walaupun beberapa negara (seperti Thailand) menganggap kenaikan saham oleh syarikat tempatan sebagai hasil untuk tujuan cukai," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Belanjawan 2022 akan dibentangkan pada 29 Oktober ini di Parlimen, dilihat sebagai pemangkin ke arah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

 

Ia dirangka dengan matlamat untuk melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat, membina semula daya ketahanan ekonomi dan memangkin pembaharuan sosioekonomi.

 

Menurut Goh, Belanjawan 2022 dijangka menyaksikan pengukuhan fiskal secara berperingkat dan mengunjurkan defisit fiskal antara -5 hingga -5.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding -6.5% bagi unjuran 2021.

 

"Kami juga yakin kerajaan akan terus melaksanakan pakej ransangan COVID-19 dalam belanjawan kali ini termasuk subsidi upah, diskaun eletrik dan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi merangsang industri automotif," katanya. 

 

Mengenai pasaran tempatan, beliau berkata, kegelisahan pelabur dijangka semakin berkurangan, membolehkan pasaran kembali mengukuh sekitar November apabila mereka mula memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negara.

 

Setakat ini, katanya, indeks utama FBM KLCI menyusut 5.5% dan mencatat prestasi rendah dalam kalangan ASEAN-5 disebabkan jualan besar-besaran bagi saham sarung tangan getah, kes per kapita jangkitan COVID-19 yang tinggi berbanding negara serantau lain dan situasi politik.

 

"Bagaimanapun, kami mendapati sentimen negatif ini semakin berkurangan, dengan melihat kepada harga saham sarung tangan getah yang menghampiri paras sebelum COVID-19 berbanding awal tahun ini, ekonomi dibuka semula dengan kadar vaksinasi yang tinggi dan keadaan politik semakin stabil.

 

"Oleh itu, kami turut menjangkakan pasaran akan terus kekal mengukuh sehingga Disember didorong aktiviti pembelian saham yang mana KLCI merekodkan pulangan yang positif pada Disember bagi 11 daripada 12 tahun lalu (sejak krisis kewangan global) dengan pulangan sekitar 2.6%," jelasnya.

 

Beliau menjangkakan KLCI akan mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 18.6% dan 4.2% masing-masing bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 dengan pasaran diunjur berlegar pada 1,640 mata menjelang akhir tahun ini.

 

Dalam pada itu, Goh turut menyemak naik unjuran KDNK 2021 kepada 4.1% berbanding 3.1% sebelum ini, tetapi mengambil pendekatan berhati-hati terhadap kenaikan inflasi pada tahun hadapan.

 

Ini disebabkan kenaikan harga batu arang dan gas di seluruh dunia akan menjejaskan barangan lain jika tarif elektrik dinaikkan.

 

"Dari segi kadar dasar semalam pula, kami menjangkakan ia kekal tidak berubah pada 1.75% sepanjang tahun ini, sebelum memulakan proses normalisasi pada separuh kedua 2022.

 

"Kadar semasa yang rendah ini masih kekal akomodatif di samping beberapa langkah merangsang fiskal dan kewangan yang dilaksanakan bagi menyokong ekonomi," jelas beliau. - DagangNews.com