CTOS berdepan ketidaktentuan selepas keputusan Mahkamah Tinggi, Maybank IB turunkan saranan kepada `pegang' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTOS berdepan ketidaktentuan selepas keputusan Mahkamah Tinggi, Maybank IB turunkan saranan kepada `pegang'

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - CTOS Digital Berhad berdepan ketidaktentuan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa anak syarikatnya yang mengendali pelaporan kredit CTOS Data Systems Sdn Bhd tidak mempunyai kuasa perundangan untuk merumuskan skor kredit seseorang untuk pelanggannya.

 

Maybank Investment Bank berkata, keputusan tersebut menimbulkan ketidakpastian pada peringkat ini dan justeru, ia menurunkan taraf saranan ke atas saham CTOS kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ dan mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM2.10 sesaham, sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai isu tersebut.

 

“Bagaimanapun, mengikut pemahaman kami, sistem pemarkahan CTOS disediakan secara proprietari oleh pihak luar. Pada FY23, penyediaan laporan digital menyumbang kira-kira 44% daripada hasil kumpulan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menambah bahawa CTOS telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak menjangkakan kerugian material.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CTOS rayu keputusan mahkamah tiada kuasa beri skor kredit, melangkaui fungsi

 

Selain menafikan kuasa perundangan CTOS untuk merumuskan skor kredit, Mahkamah Tinggi juga membenarkan tuntutan plaintif, yang merupakan seorang ahli perniagaan, dan memberikan ganti rugi sebanyak RM200,000 dan kos RM50,000 untuk penarafan kredit negatif yang tidak tepat.

 

Susulan keputusan itu, CTOS telah mengumumkan bahawa CDS dinasihatkan bahawa terdapat asas untuk rayuan dan telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

 

Keputusan mahkamah mengakibatkan saham CTOS jatuh ke paras terendah sejak Julai 2022, ditutup 13.79% lebih rendah kepada RM1.25 sesaham semalam.

 

Setakat pukul 10:46 pagi ini, saham kumpulan susut 1 sen atau 0.8% kepada RM1.24 dengan permodalan pasarannya bernilai RM2.86 bilion. - DagangNews.com