CGS Malaysia mulakan liputan ke atas ViTrox dengan saranan ‘pegang’, TP RM7.30 sesaham | DagangNews Skip to main content

CGS Malaysia mulakan liputan ke atas ViTrox dengan saranan ‘pegang’, TP RM7.30 sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - CGS International Securities Malaysia (CGS Malaysia) memulakan liputan ke atas ViTrox Corp Bhd dengan saranan ‘pegang’ dan harga sasaran (TP) RM7.30 sesaham disokong pertumbuhan dan rekod prestasinya yang kukuh.

 

Firma penyelidikan itu yakin bahawa penyedia rumusan pemeriksaan penglihat terbabit bersedia untuk mendapat manfaat daripada pemulihan industri semikonduktor global tahun ini, di mana persatuan industri mikroelektronik global, SEMI menjangkakan jualan global peralatan semikonduktor meningkat semula sebanyak 4.4%. 

 

“Kami juga percaya permintaan untuk mesin pemeriksaan penglihatan automatik semakin meningkat memandangkan usaha automasi dan penambahbaikan dalam kecekapan pembuatan, dengan industri pertumbuhan utama ViTrox meliputi kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), serta telekomunikasi 5G,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dengan lebih 900 pelanggan merentasi pasaran utama seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun, ViTrox mempunyai pangkalan pelanggan yang memenuhi pelbagai jenis industri akhir, iaitu telekomunikasi, automotif, elektronik pengguna, industri dan barangan pengguna.

 

Di samping itu, CGS Malaysia mengunjurkan pendapatan sesaham (EPS) ViTrox pada FY24-26 berkembang 16.6% hingga 36.8% kerana ia percaya penghantaran produk pemeriksaan papan automatik dan sistem penglihatan mesin akan meningkat berdasarkan pemulihan permintaan yang meluas.

 

Ia menambah bahawa purata harga jualan (ASP) campuran sepatutnya berkembang memandangkan syarikat itu akan mengecilkan diskaun dan menambah baik campuran jualannya menerusi produk mewah dengan ciri yang dipertingkatkan.

 

“Kami juga melihat peningkatan beransur-ansur dalam margin kerana kami percaya syarikat itu akan menaikkan kadar penggunaannya, meningkatkan gabungan hasil perkhidmatannya, serta memperoleh syarikat yang mempunyai penambahan margin,” ujar firma berkenaan.

 

Meskipun CGS Malaysia percaya rekod prestasi ViTrox berdaya tahan dan prospek pertumbuhannya kukuh menjamin penilaian premium, ia melihat ruang terhad untuk berkembang melepasi paras semasa. 

 

Firma itu berkata, prospek pertumbuhannya yang kukuh telah diambil kira, dengan penilaian pada premium 28% berbanding syarikat pesaing dan 39% melebihi purata pra-pandemik.

 

Selain itu, unjuran EPS FY24-26 oleh konsensus Bloomberg juga telah dikurangkan 21% hingga 27% sepanjang 12 bulan lalu ke tahap yang lebih munasabah, mengehadkan pemotongan selanjutnya, pada pandangan firma itu.

 

Setakat pukul 9:46 pagi ini, saham ViTrox telah susut 7 sen atau 0.9% kepada RM7.57 dengan permodalan pasaran sebanyak RM7.16 bilion. - DagangNews.com