KUALA LUMPUR 20 Jun - Platform kereta terpakai dalam talian yang berpangkalan di Singapura, Carro membuat pelaburan strategik dalam Driven Communications, yang mengendalikan laman web automotif, paultan.org, CarBase.my dan oto.my.
Sebagai sebahagian daripada pelaburan, Ketua Pegawai Eksekutif bersama Driven Communications, Paul Tan dan Harvinder Singh akan terus menerajui perniagaan tersebut.
Lembaga pengarah akan kekal tidak berubah dan pekerja akan diberi jaminan untuk meneruskan pekerjaan yang mana Driven Communication juga akan terus mempunyai autonomi sepenuhnya ke atas arahan dan keputusan editorial.
Paul berkata, pihaknya mengalu-alukan pelaburan strategik Carro dan visi yang dikongsi bersama tentang ekosistem automotif kereta terpakai yang lebih baik, digital dan telus.
"Seperti kebanyakan perniagaan, Driven Communications mengalami masalah kewangan semasa COVID-19. Kami berterima kasih atas sokongan masa depan Carro yang akan melindungi pihak kami, menyelamatkan pekerjaan dan memastikan ulasan bebas berterusan," katanya dalam kenyataan.
Harvinder pula berkata, pihaknya sangat teruja mengetahui bahawa Carro menghormati kebebasan editorial mereka, dengan pelanggan.
"Ia juga menggalakkan kami untuk mengenakan caj komersil kepada kumpulan syarikat Carro. Dengan pelaburan ini, kami tidak sabar untuk mencapai keuntungan dan pertumbuhan di luar Malaysia," katanya.
Paultan.org antara laman web automotif bebas yang pertama dan terbesar di Malaysia, menarik pelawat aktif bulanan sehingga 6 juta trafik dan kerap menduduki tempat teratas sebagai laman web automotif paling banyak dikunjungi di seluruh negara.
Dengan penekanan pada ulasan dan editorial bebas, paultan.org telah berkembang menjadi jenama isi rumah dengan pengikut setia yang ramai.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carro, Aaron Tan berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Driven Communications selama hampir 2 tahun.
Katanya, secara strategik, pelaburan ini juga merupakan langkah proaktif untuk menggalakkan keterbukaan dan kebebasan.
"Pemerolehan iklan dan tapak automotif baru-baru ini oleh rakan-rakan pemain industri telah menyebabkan berbilang peniaga/platform disekat. Ini menyekat persaingan yang sihat dan akses pelanggan di seluruh rantau - sesuatu yang Carro harap dapat berubah," katanya. - DagangNews.com








