KUALA LUMPUR 7 Dis - The Software Alliance (BSA) menyeru pihak berkuasa di Malaysia agar mengambil tindakan terhadap perlindungan hak cipta perisian sebagai satu isu keselamatan awam, susulan penemuan penggunaan perisian yang tidak sah dalam reka bentuk dan kejuruteraan sebuah projek jalan kereta api di negara ini.
Pengarah Kanan BSA, Tarun Sawney berkata, keselamatan dan integriti projek infrastruktur berada dalam bahaya apabila perniagaan menggunakan perisian tanpa lesen.
Katanya, penting untuk pengendali perniagaan dalam firma kejuruteraan memastikan perisian mereka dilesenkan secara sah dan menerima pengemaskinian keselamatan.
"Pada masa sama, kami memohon agar pihak kerajaan untuk meneruskan malah meningkatkan lagi, usaha penguatkuasaan terhadap firma kejuruteraan yang menggunakan perisian tanpa lesen.
"Pembayar cukai Malaysia berhak menikmati projek kerja awam khidmat masyarakat yang menggunakan perisian yang sah dan berlesen," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan membuat serbuan ke atas 15 syarikat pada separuh pertama tahun 2023 dan mendapati sejumlah 152 unit perisian tanpa lesen dengan nilai pelanggaran keseluruhan melebihi RM3.7 juta.
Antara organisasi yang didapati melanggar undang-undang hak cipta termasuk firma-firma kejuruteraan dan reka bentuk bagi projek infrastruktur utama, hartanah, dan pembinaan.

Serbuan KPDN mendedahkan sebuah firma perundingan kejuruteraan yang terlibat dalam projek kerja awam utama iaitu pembinaan jalan kereta api peringkat nasional yang menggunakan perisian tidak sah.
Syarikat itu melaporkan hasil keuntungan tahunan hampir AS$1.5 juta dan mempunyai aset melebihi AS$1.7 juta.
Sepanjang penyiasatan itu, pihak berkuasa turut mendapati wujudnya amalan percubaan mengelirukan pihak berkuasa oleh beberapa syarikat yang mana pengguna akhir memaparkan lesen perisian tamat tempoh untuk memenuhi pematuhan secara palsu, yang hanya dapat dibongkar semasa semakan menyeluruh ke atas perkakasan komputer.
Antara program yang digunakan tanpa lesen rasmi termasuk AutoCAD, 3ds Max, dan V-Ray.
BSA menyatakan harapannya untuk terus bekerjasama dengan KPDN pada 2024, untuk membawa lebih banyak syarikat ke mahkamah, dan menyasarkan kira-kira 50 syarikat kejuruteraan dan reka bentuk yang disyaki menggunakan perisian tanpa lesen.
Pihaknya juga menyediakan talian bantuan bagi firma kejuruteraan dan reka bentuk di Malaysia untuk mendidik mengenai proses pengurusan aset perisian yang betul serta memastikan pematuhan undang-undang. - DagangNews.com








