KUALA LUMPUR 18 Mac - Boost, syarikat Fintech milik Axiata hari ini diumumkan sebagai pembiaya secara digital sepenuhnya pertama di Asia Tenggara yang memperoleh penarafan gred pelaburan A1 daripada RAM Ratings.
Penarafan itu diperoleh untuk tranche pertama Nota Jangka Masa Sederhana (MTN) Senior Kelas A, kategori pembiayaan belum terima disekuritikan.
Penarafan oleh agensi penarafan kredit utama di Malaysia membuktikan kebolehan dan keupayaan Boost dalam memacu keterangkuman kewangan melalui Boost Credit (dikenali sebelum ini sebagai Aspirasi) dan pendekatan rangka kerja pemarkahan data alternatif. Portfolio syarikat diteliti sepenuhnya dan didapati berupaya memenuhi tanggungan kewangan.
Boost Credit memiliki kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang baik, iaitu kurang daripada 3% untuk dana yang disalurkan untuk membiaya keperluan pelanggan dari sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk modal kerja, pembiayaan rantaian bekalan dan pembiayaan invois untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Prestasi ini didayakan oleh pemarkahan kredit yang rapi dan berpandukan pelbagai model alternatif data dan AI.
Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, syarikat gembira atas kejayaan menjadi penetap standard sekali lagi di industri yang baru bertapak, tetapi amat berpotensi untuk terus berkembang.
Beliau berkata, penarafan A1 bagi tranche disekuritikan mengiktiraf mutu portfolio pembiayaan dan keteguhan pelantar peminjaman alternatif mereka.
"Solusi digital yang ditawarkan senang dikendali dan mudah diakses oleh pelanggan, merangkumi sistem e-Know Your Customer (eKYC) yang komprehensif, dilengkapi proses permohonan digital berdurasi 3 minit yang dipacu AI dan jentera pembelajaran mesin.

“Kami menjangka penarafan ini akan mempelbagaikan sumber modal syarikat dan membolehkan kami membantu lebih banyak PKS. Kami komited untuk terus merealisasikan aspirasi memajukan keterangkuman kewangan dan teruja memikirkan kemungkinan membantu lebih banyak PKS seiring perjalanan kami untuk menjadi syarikat fintech spektrum penuh serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Perniagaan Boost Credit, Gurpreet Khera pula berkata, penarafan A1 ialah pencapaian penting dalam usaha kami untuk membina Bank Digital, serta perkembangan semulajadi dalam perjalanan menawarkan perkhidmatan kewangan digital yang komprehensif di serata rantau.
"Penarafan ini turut mencerminkan janji kami untuk terus menambah baik rangkaian produk yang ditawarkan, dan membina ekosistem kewangan yang terangkum di Asia Tenggara," katanya.
Penarafan pembiayaan belum terima disekuritikan memberi ketenteraman kepada para pelabur berhubung keupayaan operasi Boost Credit.
Pencapaian ini juga menunjukkan kepada pemegang taruh bahawa produk syarikat sudah dinilai dan memenuhi syarat pensekuritian dengan penilaian A1. - DagangNews.com








