BNM umum 5 langkah pencegahan tambahan perangi penipuan kewangan | DagangNews Skip to main content

BNM umum 5 langkah pencegahan tambahan perangi penipuan kewangan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan lima langkah pencegahan tambahan yang akan diambil industri perbankan untuk memerangi penipuan kewangan. 

 

Langkah tersebut diumumkan Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus semasa pelancaran pameran maya, ‘Pameran Jenayah Kewangan’ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.

 

Beliau berkata, langkah itu meliputi, peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali sahaja (One Time Passwords, OTP) yang berasaskan SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat.

 

"Langkah kedua, mengetatkan lagi peraturan pengesanan dan pencetus bagi menyekat transaksi berkaitan dengan penipuan kewangan, ketiga, menetapkan tempoh bertenang untuk pendaftaran perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti selamat buat kali pertama.

 

"Keempat, pelanggan akan dihadkan kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian, dan kelima, bank-bank akan dikehendaki mewujudkan talian penting yang khusus untuk penipuan kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Nor Shamsiah berkata, BNM bersama-sama dengan industri kewangan akan terus memastikan saluran perbankan dan pembayaran kekal selamat dan dilengkapi kawalan keselamatan yang terkini. 

 

"Usaha membanteras jenayah kewangan juga memerlukan sokongan semua pihak. Sebagai pengguna, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk melindungi diri daripada ancaman penipuan kewangan. 

 

"Harapan kami adalah supaya Pameran Jenayah Kewangan ini dapat membantu usaha mendidik orang ramai untuk melindungi diri daripada penipuan kewangan," katanya.

 

Beliau turut memaklumkan bahawa BNM akan terus menguar-uarkan maklumat terkini berkenaan dengan penipuan kewangan melalui laman Facebook Amaran Scam iaitu https://facebook.com/amaranpenipuan.

 

Terdahulu, pameran Pameran Jenayah Kewangan bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai penipuan kewangan dan boleh diakses melalui https://museum.bnm.gov.my/fce/bm.

 

Pameran maya anjuran Muzium dan Galeri Seni BNM itu telah dirasmikan secara bersama oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Nor Shamsiah.

 

Pameran tersebut memaparkan pelbagai jenis jenayah kewangan yang lazim di Malaysia serta evolusinya mengikut peredaran masa. Ia mengandungi ciri-ciri interaktif yang membolehkan orang ramai membuat simulasi tentang senario penipuan kewangan. 

 

Melalui pelbagai bahan pameran, orang ramai akan mengetahui strategi Soal, Sekat dan Sebar (3S) untuk melindungi diri dan orang lain daripada menjadi mangsa. 

 

Dalam pada itu, Acryl Sani pula berkata, kelicikan penjenayah siber mengeksploit perubahan teknologi dan menjerat mangsa secara kreatif melalui pelbagai modus operandi baharu, serta kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber yang masih berada pada tahap sederhana, telah dikenal pasti sebagai antara punca kes jenayah tersebut meningkat. 

 

"Oleh itu, PDRM peka akan wujudnya keperluan untuk menyebar luas seberapa banyak ilmu pengetahuan kepada masyarakat supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa aktiviti jenayah tersebut," katanya.

 

Orang ramai dinasihatkan supaya melindungi maklumat peribadi mereka dan mengelakkan daripada memuat turun fail atau aplikasi daripada sumber yang tidak disahkan ke dalam peranti mudah alih. - DagangNews.com

 

Pemegang akaun yang mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan berhubung dengan akaun bank mereka perlu segera:

 

 

  • 1. Memaklumkan bank mereka

 

  • 2. Menghubungi talian Scam Response Centre, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Commercial Crime Investigation Department, CCID) melalui talian 03-2610 1559/1599 atau BNMTELELINK melalui talian 1-300-88-5465

 

  • 3. Membuat laporan polis untuk membantu siasatan.