KUALA LUMPUR 23 Okt - Bank Negara Malaysia (BNM) menyasarkan sekurang-kurangnya separuh daripada pembiayaan baharu oleh bank-bank diselaras dengan sokongan iklim atau aktiviti peralihan sebagaimana ditetapkan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan Malaysia (PISK) 2022-2026.
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata pada masa yang sama, bank pusat itu akan terus menyediakan persekitaran dasar yang memudahkan industri memajukan inovasi kewangan dan meninjau struktur kewangan baharu diperlukan dalam memenuhi keperluan pembiayaan bagi pengurangan gas rumah hijau serta aspek penyesuaian terhadap risiko iklim.
“BNM telah memulakan usaha melakukan semakan menyeluruh terhadap peraturan sedia ada bagi memastikan risiko iklim ini diambil kira sewajarnya dan diintegrasikan secara baik ke dalam rangka kerja pengawalseliaan kami," katanya pada acara dwitahunan Persidangan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) bertemakan ‘Journey to Zero’ di sini, hari ini.

Abdul Rasheed menjelaskan bahawa langkah tersebut adallah bagi memastikan industri terbabit kekal berdaya tahan terhadap faktor iklim selain dapat menyumbang secara berkesan untuk menyokong peralihan ekonomi.
Beliau berkata, BNM juga mengambil maklum cabaran yang mungkin dihadapi oleh institusi kewangan dalam mengimbangi impak tersebut, misalnya, risiko konsentrasi boleh meningkatkan pembiayaan hijau, serta peralihan dan institusi kewangan perlu memahami dengan sewajarnya dan mengurus risiko tersebut dengan betul.
Pada masa sama, beliau juga menegaskan bahawa sebarang pelarasan terhadap piawaian perlu mengambil kira perlindungan wajar bagi memastikan risiko yang ditangani itu dapat diurus sebaik mungkin, lapor Bernama.
“Seiring usaha institusi kewangan melaksanakan lebih banyak langkah konkrit dalam tindakan berkaitan iklim, aspek pengurusan perdagangan untuk merangka pelan peralihan berwibawa dan memperuntukkan modal selari dengan trajektori sifar bersih akan menjadi penting,” katanya.
Abdul Rasheed berkata BNM juga sedang berusaha untuk merangka panduan pelan peralihan untuk menggalakkan penjajaran antara strategi perniagaan dan risiko institusi kewangan, komitmen awam mereka terhadap matlamat iklim dan rancangan negara, serta memastikan perlindungan daripada ‘greenwashing.’
‘Greenwashing’ merujuk kepada penyebaran maklumat tidak berasas dan mengelirukan mengenai manfaat alam sekitar daripada produk, perkhidmatan, teknologi atau amalan perniagaan sesebuah syarikat bagi tujuan pemasaran. - DagangNews.com








