BNM keluarkan amaran ancaman serangan siber penggodam pro-Israel terhadap institusi kewangan Malaysia | DagangNews Skip to main content

BNM keluarkan amaran ancaman serangan siber penggodam pro-Israel terhadap institusi kewangan Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Bank Negara Malaysia (BNM) melalui platform risikan ancaman siber sektor kewangan (FinTIP) mengeluarkan amaran kemungkinan serangan siber daripada kumpulan penggodam 'hacktivist' pro-Israel terhadap institusi kewangan di Malaysia.

 

BNM memaklumkan, serangan balas itu disyaki sebagai tindak balas terhadap kumpulan penggodam DragonForce Malaysia yang melancarkan serangan siber yang dinamakan Operasi Badai, baru-baru ini.

 

"Walaupun FinTIP tidak melihat sebarang petanda pasti berhubung persediaan kumpulan hacktivist untuk melancarkan serangan balas terhadap organisasi Malaysia sebagai tindak balas kepada tindakan DragonForce, terdapat beberapa maklumat perisikan belum disahkan bahawa mereka merancang untuk melancarkan serangan DDoS.

 

"FinTIP telah menyenaraikan kumpulan hacktivist pro-Israel terkenal, beberapa daripadanya sebelum ini dikenalpasti telah menyasarkan institusi kewangan Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, walaupun serangan berjaya dilakukan oleh DragonForce, kumpulan tersebut tidak mendedahkan secara terbuka sebarang serangan balas yang akan berlaku.

 

Katanya, 10 kumpulan hacktivist pro-Israel tersebut adalah Team UCC Operations or Unknown Cyber Cult, Kerala Cyber Xtractor, Silentone, Indian Cyber Force, Garuna Ops, Israel Cyber Defence, Termux Israel, Anonymiss, Gaza Parking Lot Crew dan Silencer of Evil.


 

BNM berkata, FinTIP tidak mengenalpasti sebarang perbualan atau perbincangan khusus lain yang berkaitan dengan penyasaran institusi kewangan Malaysia.

 

 

BNM

 

 

"FinTIP akan memantau situasi secara konsisten dan menyediakan kemas kini tentang sebarang kemungkinan ancaman dan penunjuk kompromi (loC) terkini yang dikaitkan dengan aktiviti kumpulan ini," katanya.

 

Dalam perkembangan sama, BNM dan industri kewangan sentiasa berkongsi maklumat mengenai kemungkinan ancaman yang berlaku dalam ruang siber.

 

Katanya, notis FinTIP ialah pemberitahuan untuk berjaga-jaga yang dikeluarkan secara rutin kepada institusi kewangan dan rakan kerjasama mereka yang berkaitan.

 

"FinTIP sentiasa memantau landskap siber dan akan memaklumkan tentang kemungkinan ancaman baharu termasuk peningkatan aktiviti penggodaman.

 

"Notis FinTIP membolehkan institusi kewangan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi melindungi sistem mereka dan mengelakkan sebarang kemungkinan gangguan terhadap perkhidmatan kewangan," katanya. - DagangNews.com