BNM, BIS, bank pusat Australia, Singapura dan Afrika Selatan bangunkan platform percubaan mata wang digital  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM, BIS, bank pusat Australia, Singapura dan Afrika Selatan bangunkan platform percubaan mata wang digital 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub, Reserve Bank of Australia, Monetary Authority of Singapore dan South African Reserve Bank menyempurnakan versi prototaip platform yang dikongsi bersama yang membolehkan penyelesaian antarabangsa menggunakan pelbagai mata wang digital bank pusat (mCBDC).

 

Projek Dunbar, yang diterajui oleh Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, telah membuktikan bahawa institusi kewangan boleh menggunakan CBDC yang dikeluarkan oleh bank-bank pusat peserta untuk melakukan transaksi secara terus antara satu sama lain menggunakan platform yang dikongsi bersama. 

 

Pengaturan ini berpotensi mengurangkan pergantungan pada pihak pengantara. Sehubungan dengan itu juga, kos dan masa yang diambil untuk memproses transaksi rentas sempadan dapat dikurangkan.

 

Projek ini disusun mengikut 3 aliran kerja. Satu aliran kerja memberikan tumpuan pada keperluan dan reka bentuk fungsi pada tahap tinggi, manakala dua aliran teknikal yang bergerak secara serentak untuk membangunkan prototaip menggunakan dua platform teknologi yang berbeza (Corda dan Partior).

 

Ia menyarankan penyelesaian praktikal untuk menangani isu-isu tersebut. Saranan penyelesaian ini disahkan melalui pembangunan prototaip yang menunjukkan daya maju teknikal platform pelbagai CBDC yang dikongsi bersama bagi penyelesaian antarabangsa.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, Andrew McCormack berkata,  platform yang dikongsi bersama merupakan model yang paling cekap bagi kesalinghubungan pembayaran, namun model ini paling mencabar untuk dilaksanakan. 

 

"Malah, projek Dunbar membuktikan bahawa kebimbangan utama mengenai kepercayaan dan kawalan bersama boleh ditangani menerusi mekanisme tadbir urus yang dikuatkuasakan melalui kaedah teknologi yang mantap. 

 

"Hal ini menjadi asas bagi pembangunan platform global dan serantau pada masa hadapan,” katanya.

 

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail berkata, projek Dunbar yang berjaya disempurnakan ini telah menghasilkan pemahaman yang bermanfaat tentang bagaimana platform pelbagai CBDC berpotensi untuk menyelesaikan isu yang kompleks dalam ruang pembayaran rentas sempadan. 

 

Katanya, projek itu membuktikan betapa pentingnya kerjasama bank pusat dalam menyokong pembangunan infrastruktur pembayaran generasi akan datang. 

 

"Kami berhasrat untuk memanfaatkan pemahaman tersebut melalui pembuktian konsep yang lain untuk meneruskan penerokaan CBDC," tambahnya. - DagangNews.com